KUALA LUMPUR:Bekas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk A. Kadir Jasin menyarankan agar peluang diberikan kepada pemimpin muda mengambil alih secara teratur dan terancang demi menjamin kesinambungan pemerintahan negara.

Dalam satu tulisan di Facebooknya, Tokoh Wartawan Nasional itu berkata, sudah tiba masanya untuk kepimpinan politik yang ada sekarang diganti.

Menurut beliau, pemimpin yang ada pada hari ini menceburi politik dan menduduki jawatan penting ketika mereka masih muda, justeru tidak ada sebab untuk pemimpin muda dikatakan tidak layak menggantikan kedudukan mereka.

"Saya lebih daripada yakin bahawa kita mempunyai bilangan pemimpin pewaris yang cukup besar dan berkebolehan untuk dilatih dan diberi peluang mengambil alih.

"Adalah amat berbahaya kita membenarkan diri kita terus terpukau dan menjadi mangsa rasuah politik ala "the sheme of things" dan "cash is king" sehingga tidak boleh lagi melihat ke hadapan melepasi barisan pemimpin kanan yang ada sekarang," katanya.

 
Sumber Facebook akadir.jasin.5

Sebelum itu,Kadir juga menulis perkara yang sama di blog peribadinya tentang keperluan memberi peluang kepada pemimpin muda mengambil alih.

Beliau mengambil contoh bagaimana Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir Mohamad masing-masing ketika berusia 48 dan 45 tahun telah berusaha mengubah sejarah dan hala tuju negara.

Menurut Kadir, ketika Razak dan Dr Mahathir berganding mengubah hala tuju negara ketika itu tidak ada bantahan atau cemuhan mengatakan kedua-dua pemimpin itu terlalu muda.

"Tunku mengambil alih UMNO daripada Almarhum Datuk Onn Jaafar pada tahun 1951 ketika berusia 48 tahun dan menjadi Perdana Menteri Malaya Merdeka pada usia 54 tahun. Pun tidak kedengaran bantahan atau cemuhan mengatakan beliau terlalu muda.

"Almarhum Tun Hussein Onn pun menjadi Perdana Menteri pada usia 54 tahun, Dr Mahathir 56 (pusingan pertama), Tun Abdullah Ahmad Badawi (64 tahun) dan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak (56 tahun).

"Hari ini, ramai pemimpin yang menanti sama adalah dalam lingkungan usia 60-an atau 70-an seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim (73 tahun).

"Realitinya kepemimpinan peringkat tertinggi kita semakin hari semakin tua sedangkan demografi kita semakin hari semakin muda. Mulai PRU ke-15 ini, warganegara semuda 18 tahun sudah boleh mengundi.

"Kalau dulu sistem pewarisan politik kita boleh memberi peluang kepada pemimpin muda seperti yang berlaku kepada Tunku, Abdul Razak, Hussein, Dr Mahathir dan Mohd Najib, tentunya peluang yang sama boleh diberi kepada pemimpin muda hari ini!" kata beliau lagi.

Beliau turut mengingatkan, ketika Tengku Razaleigh Hamzah dilantik menerajui Petronas, tokoh itu berusia 37 tahun dan dua tahun kemudian pada usia 39 tahun dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Kadir turut menyenaraikan beberapa pemimpin muda yang selayaknya mengambil alih kepimpinan negara antaranya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin, Nurul Izzah Anwar, Adly Zahari, Hannah Yeoh, Liew Chin Tong dan beberapa nama lagi.