Peranan wanita yang banyak memberi sokongan kepada parti masing-masing menjadi asas penglibatan mereka sebagai penstabil sebarang kewujudan kekecohan politik yang berlaku di dalam negara.

Pengarah Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam menegaskan, walaupun kurang membuat kenyataan namun tidak boleh dinafikan peranan mereka menjadi tulang belakang dalam setiap keputusan yang dibuat pemimpin parti.

"Sebenarnya keadaan sekarang amat gawat, jadi kebijaksanaan pemimpin itu sangat-sangat diperlukan dan wanita sebagai penyokong, pembantu dan pembuat keputusan adalah sangat penting. Saya rasa wanita sangat konsisten, mereka tidak lompat parti, adalah satu dua dalam UMNO tetapi secara umumnya wanita tidak lompat parti, mereka setia di belakang kepimpinan dan juga pemimpin bagi parti-parti itu.

"Memang dalam kekecohan politik hari ini, saya rasa wanita adalah 'tukang stabil' kepada keadaan itu dan mereka memberi pendapat dan saya percaya parti-parti yang berkaitan, Muafakat Nasional (MN), Bersatu dan juga parti-parti lain akan mementingkan kepentingan negara. Tetapi ada juga wakil-wakil rakyat yang mementingkan diri sendiri, lompat sana, lompat situ.

"Jadi bagi saya ini patutlah dihentikan, sebab ia memalukan. Integriti pemimpin-pemimpin itu dipersoalkan dan bagaimana mereka hendak menawarkan diri semula dalam PRU akan datang bila mereka sendiri bersifat pentingkan kedudukan, tidak peduli kepada kestabilan negara, tidak peduli kepada pembelaan rakyat, tidak peduli kepada COVID-19 yang berulang-ulang," katanya semasa dihubungi di sini, pada Selasa.

Kali terakhir dilaporkan, jumlah Ahli Parlimen wanita di Malaysia ialah seramai 32 orang iaitu mewakili 14.4 peratus sahaja daripada keseluruhan Ahli Parlimen.

Jumlah minimum Ahli Parlimen wanita yang disasarkan jika objektif 30 peratus oleh kerajaan adalah seramai 66 orang.

Angka itu masih jauh dari sasaran Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPWKM) sebelum ini yang menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita sebagai pembuat keputusan di dalam Parlimen, seiring dengan matlamat global.

Mengulas isu sama, Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, peranan wanita boleh dilihat semakin jelas jika penambahan penyertaan mereka bukan sahaja dalam bidang politik malah sosial dan ekonomi.

Tegasnya, sifat kelembutan wanita itu sendiri memberi kesan dan meredakan kekecohan yang berlaku dalam pelbagai situasi semasa negara hari ini.

"Apabila kita melihat dari segi keperibadian wanita itu sendiri, wanita itu dalam kekuatannya ada kelembutan dan peranan yang dimainkan oleh wanita itu sebenarnya boleh menjadi penstabil dari corak bagaimana mereka menjadi pendamai.

"Pandangan mereka boleh meredakan sesuatu keadaan yang tegang dan memainkan peranan sebagai bukan sahaja pendamai tetapi juga dalam melaksanakan tugas-tugasnya sebagai orang tengah atau sebagai jambatan yang boleh menjadikan sesuatu keadaan itu bertambah baik atau menjadi reda.

"Maksudnya dalam sesuatu keadaan yang kita lihat lebih dinamik. Jadi tidak salah dengan apa yang boleh dimainkan peranan wanita selama ini," ujarnya.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada 2018, daripada keseluruhan 687 orang calon yang bertanding pada peringkat Parlimen dalam PRU14, hanya 75 orang calon (10.9 peratus) sahaja daripada kalangan wanita.