KUCHING: Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri berharap perdana menteri baharu nanti dapat menerajui pentadbiran Malaysia selain melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan meneraju Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy berkata peluang itu membolehkannya bekerja rapat dengan Muhyiddin.

"Saya dapat melihat dengan lebih dekat komitmen serta usaha yang diberikan Muhyiddin dan semua rakan Jemaah Menteri khususnya ketika berdepan cabaran mentadbir serta menguruskan negara ketika pandemik COVID-19.

"Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk memberi khidmat bakti kepada negara. InshaAllah saya percaya Allah mempunyai perancangan terbaik untuk Malaysia dan seluruh rakyat negara ini. Kita doakan yang terbaik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selain itu, Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdulla berkata, kestabilan politik menjadi keutamaan negara dalam memacu Malaysia sekali gus memerangi COVID-19.

Katanya, kemelut politik yang berlaku di peringkat Persekutuan hanya akan memburukkan negara.

"Perkara terakhir yang kita perlukan adalah keadaan yang semakin keruh dan pemulihan semakin sukar untuk dilaksanakan.

"Kerajaan perlu fokus memerangi wabak ini, membantu rakyat yang terkesan, dan membangun semula ekonomi rakyat dan negara. Hentikan pertelingkahan, perebutan kuasa,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin sebelum ini mengakui bahawa beliau terpaksa meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat susulan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO