Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pemuda Pas memegang peranan penting untuk meningkatkan fahaman politik Islam khususnya kepada golongan belia di negara ini.

In kerana, menurut Abdul Hadi, golongan belia merupakan pengundi terbesar dalam menentukan hala tuju kerajaan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu menyatakan kekecewaannya melihat fahaman politik dalam kalangan umat Islam terutama anak muda sangat lemah berbanding kaum lain.

“Walhal, Islam mewajibkan politik dalam perjuangannya tetapi kerana jahil agama, kita meninggalkan kewajipan yang besar ini. Semua Nabi dan Rasul A.S tidak memisahkan politik daripada dakwah.

“Apa yang dilupakan ini menyebabkan undi kita kepada umat Islam sangat lemah kerana lemahnya fahaman politik… khususnya orang muda yang menjadi sasaran musuh-musuh Islam untuk mengheret mereka dengan kelekaan.

“Maka peranan pemuda (Pas) sangat besar dan penting (dalam hal ini),” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) ke-61 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini pada Sabtu.

Turut hadir Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin dan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menyeru DPPM menggiatkan pendaftaran ahli baharu dalam kalangan anak muda sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, golongan belia semakin muak dengan situasi politik kini sehingga mengakibatkan sebilangan anak muda tidak mengambil peduli mengenai perkembangan politik negara.

Muktamar DPPM ke-61 yang dihadiri kira-kira 400 perwakilan dari seluruh negara itu diadakan dalam suasana norma baharu dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.