KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO hari ini menggesa Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun agar segera menafikan satu lagi surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, di dalam surat berkenaan, Azhar menyatakan Perdana Menteri hanya mempunyai 100 sokongan ahli Parlimen selepas 14 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

"Pemuda UMNO meminta agar Yang Dipertua Dewan Rakyat segera menafikan surat yang ditularkan walaupun dalam laporan portal tersebut menyebut beliau tidak mahu komen mengenainya kerana melibatkan Istana Negara.

"Kegagalan melakukannnya hanya mengesahkan surat tersebut dan menzahirkan bahawa Perdana Menteri secara rasmi sudah sah hilang majoriti," katanya dalam sidang media di Menara Onn, di sini hari ini.

Semalam, Azhar menafikan laporan bahawa beliau mengeluarkan surat kepada Perdana Menteri bagi memaklumkan kerajaan pimpinannya telah tiada majoriti.

Tegas beliau, berita tersebut adalah berita palsu.

BACA: Speaker Dewan Rakyat nafi maklumkan kepada Muhyiddin Kerajaan sudah tiada majoriti

Bagaimanapun, sebuah lagi laporan berita melaporkan Azhar menjelaskan kedudukan mutakhir bilangan ahli Dewan Rakyat yang menyokong Perdana Menteri ialah berbaki 100 orang.

Ditanya mengapa UMNO tidak menunggu ia ditentukan dalam sidang Parlimen pada September ini, Asyraf Wajdi berkata, kelewatan Azhar berbuat demikian akan menyebabkan pelbagai persoalan mengenai keabsahan dan status Perdana Menteri akan terus dipertikaikan.

"Jadi, isu yang besar sekarang ialah Speaker kena cepat menafikan. Kalau dia tak nafi tak sepertimana semalam, semalam cepat tak sampai tiga jam tular (surat) dia terus kata itu palsu.

"Tetapi bila (surat) ini sudah hampir 24 jam, dia tak nafikan itu bahaya kerana ini boleh dijadikan asas oleh sesiapa sahaja untuk mempersoalkan sama ada Perdana Menteri ini, masih ada keabsahaan untuk mentadbir kerajaan ini?" soal Asyraf Wajdi lagi.

Sementara itu, ditanya mengenai siapa rakan sekutu UMNO untuk membentuk kerajaan jika benar Perdana Menteri sudah hilang majoriti kelak, Asyraf Wajdi berkata, perkara utama yang perlu diselesaikan adalah mengenai kedudukan Muhyiddin.

"Sebelum kita bercakap mengenai soal siapa Perdana Menteri, pada waktu itu kena ingat apabila Perdana Menteri letak jawatan di dalam perkara 40(2b), kuasa pelantikan Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi, pendirian UMNO jelas, kita bincang dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kita serah kepada Agong untuk menentukan siapa Perdana Menteri yang bakal dilanti kelak," katanya.