KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama menganjurkan latihan dan pendidikan bagi memastikan pembudayaan politik berintegriti.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan siri latihan dan pendidikan itu akan dilaksanakan kepada kepimpinan Pemuda UMNO di semua peringkat termasuk wakil-wakil rakyat kalangan pemuda.

"Program ini penting bagi memastikan pembudayaan politik berintegriti dan bebas rasuah dapat diterapkan sedari awal dan kepimpinan muda diberikan pencerahan praktis bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan sebarang amalan rasuah, pecah amanah dan apa jua yang melanggar prinsip agama, integriti dan moral," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa. 

Asyraf Wajdi bersama delegasi Pemuda UMNO Malaysia mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Turut hadir dalam pertemuan dan perbincangan tersebut tiga wakil rakyat dari kalangan Pemuda, Fairul Nizam Roslan Along, Hairi Md Shah dan Dr Akmal Saleh.

Asyraf Wajdi menjelaskan kehadiran tiga wakil rakyat ini bertujuan memperhalusi pelbagai langkah bagi membudayakan politik integriti di kalangan pemimpin-pemimpin muda UMNO.