Penduduk mahu saya pulang ke Pekan - Najib

Astro Awani
Mei 20, 2018 09:36 MYT
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengacau bubur lambuk ketika menghadiri Program Mengacau Bubur Lambuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) Parlimen Pekan di kediaman beliau, Seri Kenangan, hari ini. - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini berada di Pekan, Pahang, kunjungan pertamanya ke kawasan Parlimen yang diwakilinya itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.
Mereka tiba di kediaman Seri Kenangan kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, kira-kira 3 jam selepas meninggalkan Kuala Lumpur.
Najib berkata, beliau pulang ke Pekan kerana rakyat di situ mahu beliau pulang.
“Mereka mahu menunjukkan penghargaan mereka dan terus menyokong saya untuk semua perkara yang saya buat.
“Mereka mahu saya terus berkhidmat kepada mereka sebagai ahli Parlimen. Saya saya bersyukur pulang ke sini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Petang ini, Najib dijadual diberikan sambutan sebagai tanda sokongan kepadanya oleh Kelab Anak Wawasan Pekan (Kawan) dan Majlis Permuafakatan NGO Parlimen Pekan di pekarangan Bangunan UMNO Bahagian Pekanm
Selepas itu, pada pukul 5 petang, beliau dijadual merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Amphitheater, Bangunan UMNO Pekan.
Najib juga dijadual hadir majlis berbuka puasa, solat Maghrib, solat Isyak, solat sunat terawih di Seri Kenanga.
#Kuala Lumpur #Najib Razak #Pahang #Parlimen #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya umum #Rosmah Mansor #UMNO