KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri bahawa pengampunan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 boleh diragui, adalah tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Biro Guaman PKR, Sivarasa Rasiah.

Selain itu, penyandang Kerusi Parlimen Sungai Buloh itu menegaskan, kenyataan Naib Presiden UMNO itu perlu ditarik balik dengan segera, kerana tidak bersandarkan fakta kejadian.

Sivarasa berkata, Ismail Sabri memang seorang pemimpin yang mempunyai latar belakang guaman, tetapi pengalamannya amat minima berbanding barisan Hakim Mahkamah Rayuan yang menolak isu keabsahan pengampunan pada 2021.

“Perdana Menteri Sementara wajib menyemak fakta dahulu. Beliau sepatutnya memberitahu hadirin bahawa semua isu yang beliau sebut itu telahpun dibangkitkan dalam perbicaraan mahkamah di mana keabsahan pengampunan itu dipersoal.

“Dalam kes tersebut, Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2020 dan Mahkamah Rayuan pada 21 September 2021 telah menolak kes yang mempertikai keabsahan pengampunan Datuk Seri Anwar dan memutuskan bahawa kesemua isu perundangan yang disebut Dato’ Sri Ismail di himpunan itu tidak berasas langsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: PRU15: 'Buku Tommy Thomas, pengampunan Anwar perlu jadi peluru hentam pembangkang' - Ismail Sabri 

Sivarasa berkata, Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) berhak mengurniakan pengampunan kepada Anwar pada kerana beliau telahpun menjalani lebih 90 peratus hukuman penjara 5 tahun (60 bulan), atau dengan kata lain, 48 bulan bersekali dengan peringanan hukuman.

Dalam satu majlis di Bagan Datuk pada 17 Oktober lepas, Perdana Menteri dilaporkan berkata, isu Pulau Batu Puteh dan pengampunan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mempunyai keraguan, juga harus dijadikan senjata melawan pembangkang.

Tegasnya, selain menyerang Pakatan Harapan (PH), jentera Barisan Nasional (BN) juga perlu melakukan tindakan sama ke atas Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan kemenangan BN pada PRU15.

“Jadi ini perkara-perkara yang boleh kita kita bangkitkan. Bukan setakat jawab, tetapi hentam mereka,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran BN di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk.

Mengulas lanjut, Sivarasa berkata, Mantan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, tidak ‘dipecat’ pada ketika itu, tetapi telah diminta Perdana Menteri untuk bercuti pada 14 Mei 2018.

Di mahkamah, Sivarasa berkata, surat bertarikh 14 Mei 2018 telah ditunjukkan di mana Apandi telah mewakilkan fungsinya di dalam Lembaga Pengampunan kepada Peguam Cara Negara, Datuk Zauyah Loth Khan.

“Saya sendiri ingat perbincangan dengan Peguam Cara Negara berkenaan tarikh pendengaran permohonan pengampunan pada waktu itu.

“Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa tindakan mewakilkan itu adalah sah di sisi undang-undang,” katanya lagi.

Selain itu, Sivarasa berkata, isu ketidak hadiran Menteri Wilayah Persekutuan juga telah ditolak kedua-dua mahkamah, yang memutuskan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang diperinci di dalam warta berkenaan, turut memegang kuasa menteri-menteri semua Kementerian (yang juga merupakan amalan standard) sehingga keanggotaan penuh Jemaah Menteri dilantik.

“Amalan ini tidak di luar logik - sekiranya tidak Perdana Menteri lantikan Yang di-Pertuan Agong tidak akan mempunyai kuasa untuk mengarahkan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian-Kementerian sehingga menteri penuh dilantik,” katanya lagi.

Justeru, Sivarasa berkata, Ismail Sabri wajib menyemak dahulu fakta dan teliti secara terperinci keputusan penghakiman mahkamah-mahkamah dalam isu-isu yang beliau bangkitkan secara terbuka ini.

Jika tidak, katanya lagi, tidak bertanggungjawab bagi seorang Perdana Menteri Sementara untuk membangkitkan isu itu secara dusta dan salah, seolah-olah mahkamah tidak pernah memutuskan isu tersebut sebelum ini.