KUALA LUMPUR: UMNO meminta pemimpin parti gabungan dalam kerajaan termasuk Pakatan Harapan (PH) agar menegur ahli masing-masing yang membuat kenyataan 'antagonistic' dan mengkritik pengurangan hukuman serta denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, individu berkenaan yang disifatkan sebagai "kacang hantu" turut ada di dalam parti Melayu itu.

Begitu pun, beliau menegaskan, pandangan tersebut tidak mencerminkan pendirian rasmi parti, kerana ia tidak dikeluarkan oleh pemegang jawatan utama parti.

"Minta, saya minta ketua-ketua parti (dalam gabungan kerajaan) tegur ahli parti yang berkenaan untuk tarik balik, padam tulisan mereka dan mohon maaf atas keterlanjuran.

"Saya harap perkara ini dapat meredakan dan menjernihkan kekeruhan," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

[TERKINI] Tegur 'kacang hantu' dalam parti gabungan kerajaan - Zahid Hamidi


Beliau berkata demikian selepas berucap pada Majlis Amanat Menteri Kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah Dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Milikan Agensi KKDW hari ini.

Terdahulu, bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua selesai direkod keterangan susulan kenyataannya yang didakwa menghina institusi diraja berkaitan pengampunan Najib.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menambah hubungan antara DAP dan parti-parti gabungan kerajaan juga tidak terkesan susulan kritikan terhadap perkara itu.

"Namun sebagai sebuah gabungan dalam parti-parti Kerajaan Perpaduan Madani, kita menyantuni perbezaan pendapat dan kita masih menaruh penuh hormat kepada kepimpinan utama parti kerana ia akan menajdi pendirian dan pegangan parti," ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid memaklumkan beliau tidak boleh menghalang mana-mana ahli termasuk daripada pemimpin sayap untuk membuat laporan polis terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh individu terbabit.

Tegasnya lagi, UMNO akan meneruskan usaha untuk membela bekas Ahli Parlimen Pekan itu, kerana mendakwa Najib tidak diberikan keadilan sewajarnya sejak dari awal prosiding perbicaraan di mahkamah.

"Bukan (minta) pembebasan ya, tetapi pembelaan. Saya harap media boleh betulkan.

"Satu (UMNO buat) rayuan, kedua (minta) pembelaan, sebab apa yang disebut sebagai mercu keihsanan atau 'fountain of mercy' itu hanya ada pada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Pada Jumaat lalu, Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut memaklumkan denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.