[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
POLITIK

Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR: Nurul Izzah, Saifuddin gandingan secocok - Fahmi

Faida Rahim 22/06/2025 | 06:04 MYT
Fahmi berkata kedua-dua pemimpin parti itu mempunyai kelebihan masing-masing dalam persediaan strategi parti berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
KUALA LUMPUR: Gandingan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama dilihat secocok serta memberi kelebihan kepada parti itu.

Ringkasan AI
  • Nurul Izzah Anwar dan Saifuddin Nasution dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR bagi menghadapi PRU16, satu gandingan yang dianggap serasi dan strategik oleh pimpinan parti.
  • Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil menyatakan pelantikan ini memberi kelebihan kepada parti kerana kedua-dua pemimpin mempunyai pengalaman dan kekuatan tersendiri dalam merancang strategi pilihan raya.
  • Pelantikan ini diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik dan MPP, dengan beberapa jawatan lain turut dikekalkan termasuk Fuziah Salleh sebagai Setiausaha Agung dan Mustapha Sakmud sebagai Pengerusi PKR Sabah.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kedua-dua pemimpin parti itu mempunyai kelebihan masing-masing dalam persediaan strategi parti berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Saya amat mengalu-alukan keputusan ini. Keduanya pernah memikul tugas tersebut dan dalam keadaan ini, saya rasa ia memberi satu kelebihan kepada keadilan kerana dua watak ini, dua pemimpin ini memang sangat cocok dan mempunyai kekuatan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Karnival Kita MADANI 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park@Pantai Dalam, Lembah Pantai, di sini, hari ini.
Jelas Fahmi lagi, jawatan pengarah pilihan raya bersama itu pernah diwujudkan sebelum ini bagi membantu parti menyiapkan strategi dengan lebih pantas dan lancar.
Semalam, PKR dalam satu kenyataan memaklumkan Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama.
Pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) semalam.
Dalam pada itu, Saifuddin yang juga bekas Setiausaha Agung PKR, turut diberi tanggungjawab sebagai Ahli Biro Politik.
Datuk Fuziah Salleh dan William Leong turut kekal dengan jawatan masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PKR.
Selain itu, Datuk Mustapha Sakmud juga kekal memimpin PKR Sabah sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) negeri itu.
#Nurul Izzah #Saifuddin Nasution #Pengarah Pilihan Raya PKR #Fahmi Fadzil