LARUT: Cadangan penggunaan logo Pas adalah sebahagian daripada strategi parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bagaimanapun perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya ia akan diumumkan kemudian, selepas keputusan mengenainya dibuat.

"Dalam perbincangan mereka masih lagi, baru saja, dua minggu yang sudah kita ada mesyuarat,

"Pas masih lagi bersama dengan Perikatan Nasional. Perbincangan strategi untuk menggunakan logo itu adalah strategi dalam pilihan raya. Akan kita umumkan kemudian," katanya.

Beliau ditemui ketika Majlis Kenduri Kampung di Dewan Orang Ramai Anak Kurau, Batu Kurau, pada Sabtu.

Baru-baru ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin memberi bayangan bahawa parti itu akan mengunakan logo sendiri pada PRU15 nanti.

Dalam pada itu, Hamzah enggan mengulas lanjut berkenaan tawaran yang dilakukan oleh Pesuruhjaya Pas Perak yang menawarkan kerusi Parlimen Pasir Salak kepada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada PRU15 nanti.

Menurutnya, semua orang boleh membuat pandangan atau tawaran seumpa itu tetapi akhirnya keputusan muktamad terletak kepada pucuk pimpinan parti.

Hamzah turut berpendapat tidak ada salahnya jika PRU15 diadakan segera jika semua pihak, termasuk rakyat sudah bersedia.

Pada Jumaat, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpendapat, PRU15 perlu diadakan segera sekiranya mahu mengukuhkan kestabilan kerajaan.

PRU15 | Pas tidak gentar & bersedia berdepan risiko

Abdul Hadi berkata, keperluan mengadakan PRU15 lebih awal itu bergantung kepada situasi politik negara.