Parti Pribumi Bersatu Malaysia Negeri Perak (PPBM) menolak permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi untuk menyertai parti itu tanpa sebarang rundingan.

Menerusi kenyataan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi PPBM Perak berkata penolakan itu adalah atas dasar mempertahankan prinsip PPBM selain mengambil kira pandangan ahli yang tidak mahu Jamaluddin diterima sebagai ahli PPBM.

Beliau turut menjelaskan kehadirannya pada majlis penyerahan borang PPBM semalam adalah atas dasar merai sokongan tanpa menjejaskan pentadbiran.

“Seperti semua sedia maklum, Datuk Zainol Fadzi adalah antara mereka yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan Perak selepas PRU14.

“Kehadiran saya tidak lain hanya untuk menerima kemasukan beliau (Zainol) dan meraikan penyertaan lain sebagai tanda sokongan kepada Bersatu Perak.

“Namun, setelah sidang media selesai, saya dimaklumkan kehadiran Jamaluddin yang menjadi faktor pengkhianatan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat sehingga berlaku krisis pentadbiran di Perak pada tahun 2008,” ujarnya.

Kenyataan Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Perak itu dibacakan oleh Ketua Penerangan Keadilan Perak, Siti Aishah Shaik Ismail kepada pemberita di Pejabat Keadilan Negeri, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menegaskan setiap kemasukan sesiapa sahaja ke dalam Pakatan Harapan khususnya di negeri ini akan dibawa untuk pertimbangan supaya episod duka rakyat tidak berulang.

“Penyertaan mana-mana individu tidak menjadi asas kepada sebarang bentuk penawaran jawatan mahupun tempat dalam setiap posisi pentadbiran politik di Perak,” tegasnya.

Semalam, Jamaluddin yang kelihatan hadir di majlis penyerahan borang keahlian sebagai ahli Bersatu di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh turut mengisi borang keahlian parti itu bersama-sama lebih 200 pemimpin dan ahli UMNO Bahagian.

Beliau aktif dalam PKR negeri Perak dan telah bertanding dua kali untuk kerusi DUN Behrang sehingga berjaya memenangi DUN berkenaan pada pilihan raya umum 2008 menewaskan calon BN dari MIC.

Dalam krisis politik Perak pada Februari 2009, beliau bersama ADUN Changkat Jering, Osman Mohd Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Fong telah bertindak mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN Bebas dan menyokong Barisan Nasional untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak.