POLITIK

Pengundi Cina rindu zaman Najib - Timbalan Presiden MUDA

Astro Awani 30/01/2026 | 12:30 MYT
Amira turut menggesa pemimpin DAP untuk melaksanakan perubahan berbanding menilai peranannya di dalam Kerajaan MADANI. Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Segelintir pengundi Cina mula ‘rindukan’ zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz berpendapat, kenyataan tersebut merupakan amaran kepada pemimpin kerajaan khususnya dari DAP.

Timbalan Presiden MUDA itu mengesahkan kenyataan berkenaan sering disebut dalam pertemuan bersama masyarakat Cina melalui sesi kaunter bergerak.

“Ramai pakcik dan makcik (Cina) bercakap dengan saya tentang rindu zaman Najib, itu adalah satu petanda bahawa orang Cina sangat marah dengan kerajaan yang dahulunya mereka dambakan untuk bawa perubahan,” katanya semasa sesi audio siar The Tiger Show pada Khamis.

Tegasnya, ia juga petanda yang menakutkan apabila masyarakat tidak hirau untuk kembali di era pentadbiran Najib walaupun sedang menjalani hukuman penjara sejak 28 Julai 2020.

Perdana Menteri keenam itu dipenjarakan atas kesalahan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Tambahnya, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun lalu turut menjadi simbol penolakan masyarakat Cina terhadap DAP apabila tidak memenangi sebarang kerusi dari lapan DUN yang dipertandingkan.

“Saya ada jumpa ramai orang-orang Cina di kawasan saya yang mereka katakan, 'DAP harus berjaga-jaga, kami boleh lakukan hal yang sama (di Sabah) dekat Semenanjung,'” katanya.

Amira turut menggesa pemimpin DAP untuk melaksanakan perubahan berbanding menilai peranannya di dalam Kerajaan MADANI sekiranya tiada reformasi yang dilakukan dalam tempoh enam bulan pada tahun ini.

“Jangan letak beban itu kepada satu parti semata-mata, tak adil untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi setiap parti sama ada DAP, Amanah, PKR yang pegang kementerian harus lakukan reformasi itu,” katanya lagi.


#DAP #Cina #Anwar Ibrahim #muda