Pengundian PRK Parlimen Port Dickson bermula

Arfa Yunus, Diyana Ibrahim
Oktober 12, 2018 22:07 MYT
Seorang petugas SPR mengangkat kotak untuk diletakkan di tempat yang ditetapkan sebagai persiapan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Port Dickson menjelang PRK P. 132 Port Dickson. -- Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
32 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sudah mula dibuka sejak jam 8 pagi ini dan akan berakhir jam 5:30 petang nanti.
Seramai 68,317 orang layak mengundi hari ini daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar iaitu sebanyak 75,770 orang.
Ini melibatkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut, merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus).
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, keputusan PRK dijangka akan diumumkan selewatnya pada jam 10 malam ini di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Suruhanjaya berkenaan menjangkakan 70 peratus pengundi di kawasan Parlimen itu akan keluar mengundi.
Di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, beberapa pengundi mula beratur seawal 7:30 pagi dan ini dilihat sebagai petanda baik bahawa peratusan keluar mengundi akan meningkat kali ini.
Dalam tiga PRK sebelum ini di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, peratusan keluar mengundi adalah mengecewakan.
PRK ini melibatkan pertandingan tujuh penjuru antara Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin membuat kemunculan semula ke Dewan Rakyat.
Selain Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut bertanding adalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad, calon PAS Mohd Nazari Mokhtar serta bekas pembantu peribadi Anwar Saiful Bukhari Azlan.
Tiga calon Bebas lain adalah Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan Stevie Chan.
Kerusi Parlimen Port Dickson ini dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar.
#Anwar Ibrahim #calon #calon Bebas #ejen #mengundi #Mohd Isa Abdul Samad #Mohd Nazari Mokhtar #MySPR Semak #Parlimen #pemilih berdaftar #pengundi #pilihan raya kecil #polis #Port Dickson #PRK Port Dickson #semakan maklumat #SPR #tujuh penjuru