[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
POLITIK

Penyertaan Tengku Zafrul dalam PKR mampu beri nilai tambah kepada parti - AMK

Khalis Khadir 31/05/2025 | 13:51 MYT
Menurut Muhammad Kamil, perbincangan mengenai hasrat Tengku Zafrul menyertai PKR telah berlangsung sejak lebih setahun lalu dan ia dibuat dengan proses penuh pertimbangan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penyertaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuka ruang menarik sokongan pelbagai pihak untuk bersama Keadilan dalam membina sebuah negara yang lebih progresif, adil dan inklusif.


Ringkasan AI
  • Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan permohonan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk menyertai PKR sebagai langkah yang mampu memberi nilai tambah kepada parti.
  • Menurut beliau, AMK menyambut baik keterbukaan parti dalam menerima tokoh profesional yang berpotensi memperkukuh perjuangan politik berasaskan idea, kepakaran dan integriti.
  • Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap permohonan keahlian perlu melalui proses dan prosedur rasmi seperti yang ditetapkan oleh parti.


Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, penyertaan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu disifatkan mampu memberi nilai tambah kepada PKR.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini sejajar dengan komitmen Keadilan untuk terus menawarkan politik berasaskan idea, kepakaran dan integriti.

"Saya berpandangan bahawa penyertaan Tengku Zafrul yang difahamkan telah berbincang lebih setahun yang lalu untuk menyertai Keadilan. Pengalaman beliau dilihat mampu memberi nilai tambah kepada parti.

"Saya percaya bahawa keterbukaan Keadilan dalam menerima tokoh-tokoh profesional adalah bukti bahawa parti ini sentiasa berkembang sebagai sebuah wadah yang matang dan bersedia untuk memimpin masa depan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun, Muhammad Kamil turut menekankan setiap proses permohonan keahlian harus melalui prosedur yang ditetapkan, seperti diumumkan oleh Setiausaha Agung Parti.

Pada Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua Bahagian Kota Raja dan ahli parti itu.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil masa panjang untuk menilai keserasian dan kesesuaian perjuangan politik yang ingin diteruskan selain menyatakan hasrat menyertai PKR.




#Kamil Munim #PKR #Zafrul Abdul Aziz #AMK