Perak berterima kasih susulan pengisytiharan darurat PRK Gerik - MB

Abd Razak Mohd Ali
Disember 16, 2020 11:09 MYT
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jika berlaku PRK sudah tentu berlaku juga pergerakan secara bebas. - Gambar fail
IPOH: Perak berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik tidak diadakan.
Walaupun Gerik berada di dalam Zon Hjiau ekoran ancaman pandemik COVID-19, ia tetap berhadapan risiko, seperti yang berlaku sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jika berlaku PRK sudah tentu berlaku pergerakan secara bebas.
“Orang daripada luar daerah Hulu Perak masuk ke daerah Hulu Perak sama ada daripada daerah yang berhampiran, daerah Lenggong, Kuala Kangsar, ataupun daripada Kedah sebab sempadannya ialah di Baling, ataupun daripada Pulau Pinang.
“Tiada siapa boleh menjamin bahawa keluar masuk orang ramai itu tidak membawa apa-apa gejala COVID-19.
“Jadi kerana itu saya fikir Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengambil kira pengalaman yang berlaku di Sabah, maka mereka telah membuat keputusan untuk mendapat perkenan Agong supaya diisytiharkan darurat,” katanya.
Beliau ditemui selepas membentangkan Belanjawan 2021 Perak di sini pada Rabu.
BACA: Agong perkenan isytihar darurat bagi PRK Gerik dan Bugaya - PM
Beliau yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, pihaknya akur walaupun telah membuat persiapan seperti pelantikan Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi dan mendapatkan biodata 11 calon yang berpotensi.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan untuk mengisyiharkan darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.054) Gerik, Perak dan Bahagian Pilihan Raya Negeri (N.66) Bugaya, Sabah.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam kenyataan pada Rabu berkata Sultan Abdullah memperkenankan perkara itu selepas berpuas hati dengan adanya keperluan berbuat demikian.
#PRK Gerik #PRK Bugaya #Muhyiddin Yassin #UMNO #Yang di-Pertuan Agong #Majlis Keselamatan Negara #Belanjawan 2021 #COVID-19 #pandemik #Menteri Besar Perak #pilihan raya kecil #Saarani Mohamad #PRK