[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
POLITIK

Peralihan Tengku Zafrul berpotensi cetus gelombang politik - Rafizi

Ernalisa Othman 01/06/2025 | 10:50 MYT
Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli ketika bertemu pengamal media selepas merasmikan Karnival Belia Madani 2.0 Parlimen Pandan hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan peralihan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz daripada UMNO ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpotensi mencetuskan gelombang politik yang sukar dikawal oleh Kerajaan Perpaduan.


Ringkasan AI
  • Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan bahawa kemasukan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpotensi mencetuskan gelombang politik yang sukar dikawal oleh Kerajaan Perpaduan.
  • Beliau menjelaskan bahawa perjanjian rasmi pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak memperincikan sama ada parti dalam gabungan boleh menerima ahli dari parti lain.
  • Justeru, beliau menyeru agar isu melibatkan lompat parti ditangani secara berhati-hati demi menjaga keharmonian dan kestabilan politik negara.


Menurut Rafizi, walaupun Kerajaan Perpaduan dibentuk berdasarkan satu perjanjian rasmi, namun perjanjian tersebut tidak mengandungi peruntukan jelas mengenai sama ada parti-parti dalam gabungan itu boleh menerima ahli daripada parti lain.

"Semasa Kerajaan Perpaduan dibentuk, kita sebenarnya dikemudi oleh satu perjanjian Kerajaan Perpaduan, saya yang draf.

"Saya ingat tak ada di dalam perjanjian itu yang menyatakan boleh ambil atau tidak boleh ambil lah. It's a grey area (ia agak samar-samar) sebenarnya kan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Belia MADANI di Ampang pada Ahad.

Tambah beliau, fenomena lompat parti sepatutnya dielakkan kerana ia boleh membuka ruang kepada kesan yang tidak dapat dijangka.

Dalam masa sama, Rafizi turut menyeru agar sebarang langkah berkaitan perlu diurus secara berhati-hati demi kestabilan politik negara.

"Tapi saya ingat pandangan itu akan ada pandangan pelbagai. Pandangan UMNO itu adalah dari perspektif bahawa untuk kita mengekalkan harmoni sesama parti di dalam Kerajaan Perpaduan, perkara itu sepatutnya dielakkan.

"Kerana dia membuka pintu yang susah kita nak jangka, how do you draw the line (bagaimana kita nak tetapkan batasnya), pimpinan dekat peringkat mana dan sebagainya.

"Saya ingat ini perkara perkara yang akhirnya terpaksa dibincangkan di peringkat di Kerajaan Perpaduan," katanya lagi.





#Tengku Zafrul #Rafizi Ramli #UMNO #PKR #Menteri Ekonomi