KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan ketiadaan nama beliau dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri membawa mesej jelas bahawa beliau bukan sebahagian daripada strategi terbaik parti.

Bagaimanapun, jelas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu, selaku ahli parti beliau akan tetap membantu calon-calon Kerajaan Perpaduan yang akan bertanding pada 12 Ogos depan.

"Saya serahkan sebarang keputusan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti kita untuk menentukan apa strategi yang terbaik.

"Apabila diputuskan saya tidak bertanding maksudnya jelas pada hemat pucuk pimpinan buat masa ini peranan saya bukan sebahagian daripada strategi tersebut.

"Tetapi sebagai ahli parti saya akan tetap membantu calon-calon Kerajaan Perpaduan yang akan bertanding bukan hanya di Selangor tetapi juga di lima negeri lain yang terlibat dengan PRN ini," katanya kepada Astro AWANI.

Pada Jumaat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengumumkan senarai nama calon rasmi memaklumkan sebanyak 12 kerusi dipertandingkan oleh BN bagi DUN Selangor.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri tidak tersenarai sebagai calon BN pada PRN ini.

Selain itu, tambah Zafrul, selaku Ahli MKT dan Ketua UMNO bahagian, beliau hanya mahu melihat dan membantu parti lebih bertapak di Selangor dari segi kerusi DUN dimenangi.

Hal ini katanya bagi membuktikan UMNO tidak semata-mata bergantung harap kepada Pakatan Harapan yang sememangnya kuat di Selangor.