KUCHING: Perjalanan serta perjuangan Pemuda dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) belum berakhir dan akan terus berkembang sampai bila-bila, kata Ketua Pergerakan Pemuda PBB, Datuk Gerald Rentap Jabu.

Dalam ucapan terakhirnya sebagai Ketua Pemuda PBB, beliau mengingatkan agar barisan Pemuda untuk terus melakukan penambahbaikan, menerima kekuatan dan kekurangan setiap ahli dalam parti.

Menurutnya, identiti perpaduan itu perlu disemai selaras dengan tumpuan perhimpunan PBB kali ini untuk meminda perlembagaan parti dan menubuhkan Pertubuhan Belia PBB yang khusus untuk anak-anak berumur 18 ke 28 tahun.

“Pertubuhan ini diilhamkan Yang Dipertua PBB untuk memperkasakan para belia terlibat dengan politik dan menyumbang daya tenaga untuk masa depan Sarawak.

“Tetapi ingatlah benih yang kita tanam ini mesti dijaga dengan penuh kasih sayang, dibaja dengan ilmu dan dibesarkan dalam perlindungan kita semua bagi melahirkan tunas dan baka-baka pokok yang berharga,” katanya semasa berucap dalam Perhimpunan Pemuda dan Wanita PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.

Merangkap Timbalan Muda Belia dan Pembangunan Sukan Sarawak, Gerald turut mencadangkan kerajaan negeri untuk menyediakan bantuan khas kepada golongan belia berusia 17 tahun di Sarawak untuk mereka mengambil lesen memandu motosikal atau kereta.

“Bantuan ini akan memudahkan golongan ini untuk berkecimpung dalam industri penghantaran makanan atau barangan, dan daripada data yang kita perolehi, lebih kurang 40,000 orang setiap tahun yang terlibat dalam industri ini.

“Maka satu dorongan penting yang saya ingin amanatkan di sini terutamanya kepada golongan belia 18-28, supaya jangan malas, kerja kuat dan kerja dengan bijak, untuk mendapatkan perluang pekerjaan,” ujarnya lanjut.

Selain itu, Gerald mahu Pemuda PBB terus mengekalkan momentum kejayaan dalam pentabdiran kerajaan negeri dan landskap politik Sarawak.

Katanya, sokongan padu dan kepercayaan yang diberikan diterjemahkan kepada mandat yang akhirnya mengangkat perwakilan dari sayap Pemuda.

“Saya ingin menyatakan di sini, setakat hari ini di bawah sayap Pemuda kita telah berjaya mengekalkan momentum termasuk mengetengahkan wakil kita memenangi pilihan raya.

“Antaranya Fazzrudin Abdul Rahman (Tupong), Miro Simuh (Serembu), Aidel Lariwoo (Sadong Jaya), Allan Siden Gramong (Machan), Datuk Hamzah Ibrahim (Stakan), Azizul Annuar Adenan (Tanjong Datu), Royston Valentine (Tellian), Lukanisman Abang Sauni (Parlimen Sibuti) dan saya sendiri di Layar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu telah memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda PBB selama lima tahun bermula 2018 dan memulakan karier politiknya secara rasmi bersama PBB sejak tahun 1990.