KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan Perikatan Nasional (PN) akan kembali mendapatkan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15  (PRU15) kelak.

Jelasnya, semua ahli Bersatu telah diingatkan untuk membuat persiapan sewajarnya selain menguatkan panji-panji dalam menumpukan usaha memperkuatkan parti di peringkat akar umbi.

"Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan iri hati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun kelima Bersatu secara maya pada malam Jumaat.

Pada masa sama, beliau mahu kerjasama dengan parti-parti komponen PN di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan diperkukuhkan.

"Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya. Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen PN dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan," ujarnya lagi.

Terdahulu, beliau menjelaskan Pakatan Harapan (PH) mungkin kembali menjadi kerajaan dan Bersatu menjadi pembangkang jika beliau tidak berfikiran rasional ketika berhadapan krisis sebelum ini.

Jelasnya, perkara itu berjaya dielakkan selepas beliau dan semua Ahli Parlimen Bersatu menetapkan pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri yang baharu dan pembentukan kerajaan selepas itu.

"Saya boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa selepas saya meletak jawatan. Lagipun, saya telah berusaha sedaya upaya saya untuk mempertahankan kedudukan Kerajaan PN.

"Tetapi saya masih mempunyai tanggungjawab sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN," katanya.

Pada masa sama katanya, jika pendirian itu tidak diambil, keadaan negara akan terumbang-ambing kerana suasana politik pada ketika itu menunjukkan tiada siapa yang mendapat sokongan majoriti.

Justeru, beliau telah berbincang dengan Ahli-Ahli Parlimen Bersatu dan pimpinan parti-parti dalam PN iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan selain pimpinan parti rakan iaitu GPS dan PBS supaya mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu.

"Dengan itu, Bersatu dan parti-parti komponen PN akan terus berada dalam kerajaan untuk meneruskan usaha-usaha memulihkan negara sehinggalah tiba suatu masa pilihan raya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu.

"Pada masa itu, PN dan saya sebagai pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya. Insya-Allah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, we will make a comeback!," ujar bekas Perdana Menteri itu.