KUALA LUMPUR: Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara gabungan Kerajaan Perpaduan ditandatangani secara terbuka dan suci hati bagi menjamin kestabilan politik sekali gus menumpukan usaha kerajaan terhadap pembangunan negara dan menyelesaikan permasalahan rakyat.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata perjanjian itu yang mengambil pengajaran daripada ketidakstabilan pentadbiran akibat pertelagahan antara parti-parti politik yang membentuk kerajaan sebelum ini, dilakukan tanpa ada sebarang agenda tersembunyi atau perjanjian rahsia.

Fahmi berkata beliau melihat perjanjian itu sebagai kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, justeru tidak timbul isu perjanjian itu bersifat autokratik atau melanggar perlembagaan seperti didakwa sesetengah pihak.

"Dari segi format, perjanjian ini sama seperti MoU dahulu. MoU sebelum ini juga ada klausa bahawa PH berjanji untuk menyokong atau tidak menolak Bajet 2022 atau apa-apa rang undang-undang atau usul yang boleh datangkan kesan kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, Fahmi turut membidas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dilaporkan sebagai mengkritik perjanjian itu.

Politik | Perjanjian permuafakatan bukti PM tidak yakin - Muhyiddin

Menurutnya, kedua-dua individu itu tidak sepatutnya mengkritik perjanjian tersebut hanya kerana mereka tidak bersama Kerajaan Perpaduan sedangkan mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum ini yang menandatangani MoU dengan PH.

"Jadi bagi saya Mas Ermieyati atau Muhyiddin menunjukkan sifat kemunafikan. Kenapa mereka tidak bersuara tentang betapa autokratiknya perjanjian antara PH dan kerajaan sebelum ini sedangkan ia hampir sama. Hentikanlah tohmahan ini," katanya.

Selain itu, Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kini tidak pernah menutup pintu kerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan negara.

"Beliau sehingga kini tidak pernah menyatakan pintu (kerjasama) telah ditutup cuma ada pihak-pihak yang tidak mahu sambut (tawaran itu)," katanya.

Lima gabungan politik utama - PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) - yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada Jumaat menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama.

Perjanjian itu antara lain menyebut bahwa kegagalan mana-mana Ahli Parlimen dalam gabungan Kerajaan Perpaduan mengundi atau menyokong Perdana Menteri dalam usul berkaitan usul percaya, perbekalan atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan, dikira sebagai meletak jawatan.

-- BERNAMA