POLITIK

Perjanjian UMNO dengan DAP demi kepentingan negara, bukan 'sorong tengkuk' - Tok Mat

Pia Ernadya 17/01/2026 | 08:20 MYT
Mohamad berkata, UMNO pada awalnya memberi peluang kepada Pakatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, tetapi usaha itu gagal apabila PN menolak titah Yang di-Pertuan Agong. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai DAP adalah berdasarkan perjanjian yang bertujuan memastikan kestabilan negara, bukan semata-mata 'sorong tengkuk', tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata demikian mengulas desakan pemimpin Pas supaya parti itu meninggalkan DAP bagi menjayakan agenda Rumah Bangsa.

Beliau berkata, keputusan tersebut tercapai demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada parti dapat membentuk kerajaan selama lebih lima hari.

Beliau menjelaskan, UMNO pada awalnya memberi peluang kepada Pakatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, tetapi usaha itu gagal apabila PN menolak titah Yang di-Pertuan Agong.

"Kita tak pernah bersama DAP. Kita buat perjanjian untuk mengurus negara. UMNO ataupun Barisan Nasional (BN) berjanji kerana kita nak menyelamatkan negara, nak mengurus negara kerana negara tidak berkerajaan selama lebih lima hari selepas pilihan raya untuk pertama kalinya.

“Keutamaan kami ketika itu adalah memastikan negara dapat diurus. Negara tanpa kerajaan adalah sesuatu yang amat tidak baik dan akhirnya rakyat yang akan menanggung akibatnya.

“Jadi kita berada dalam kerajaan dengan perjanjian jelas. Kita bukan sorong tengkuk, malah ada red line yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media di ibu negara pada Sabtu.

Dalam masa sama, Mohamad turut mengingatkan rakan-rakan dalam kerajaan agar tidak mengambil mudah kedudukan parti itu, walaupun berada dalam Kabinet yang sama.

"Saya ingatkan semula jika banyak orang... ramai yang terlupa... saya sudah sebut dalam ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita dan Pemuda UMNO... walaupun we are in the same Cabinet but don't take us for granted," katanya.

#PAU 2025 #UMNO #DAP #Kerajaan Perpaduan