Cabaran sosioekonomi yang dihadapi generasi kedua peneroka Felda menjadi isu utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pahang.

Pengerusi Perhubungan PPBM Pahang Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil berkata PPBM Pahang membariskan lima calon dengan latar belakang Felda pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Antara situasi yang dialami anak-anak peneroka adalah masalah perumahan terbengkalai.

“Kerajaan sudah meluluskan pembinaan rumah untuk generasi kedua tetapi setelah bertahun-tahun banyak projek yang terbengkalai,” katanya kepada Astro AWANI.

Jelas Wan Mohd Shahrir, generasi kedua peneroka yang mengalami masalah ini menganggap Felda tidak mempunyai wang lagi untuk meneruskan projek-projek tersebut.

“Felda mempunyai rizab sebanyak RM9 bilion tetapi semua mengetahui ia mengalami kerugian yang teruk selepas diambil alih FGV.

“Ini bukan perkataan yang dibuat-dibuat. Ini dialami mereka sendiri,” katanya.

Selain isu perumahan, Wan Mohd Shahrir berkata generasi kedua Felda juga berdepan masalah pendapatan tidak menentu apabila tidak mendapat bayaran hasil tanaman seperti sawit pada waktu yang sepatutnya.

“Kita dengar keluhan mereka mendapat bayaran selepas sebulan setengah menjual hasil kepada Felda. Kalau dahulu seminggu sudah dapat bayaran sekarang tidak lagi,” katanya.

Beliau ditemui sewaktu majlis pengumuman calon PPBM peringkat parlimen dan negeri Pahang di Mentakab.

PPBM membariskan enam calon parlimen dan sembilan calon negeri.

Kerusi parlimen yang dipertandingkan termasuk Ahmad Pozi Yahaya P079 Kuala Lipis, Wan Mohd Shaharir P081 Jerantut, Mohd Ashraf Mustaqim P084 Paya Besar, Kamarul Ariffin Shahar P085 Pekan, Ahmad Farid Ahmad Nordin P086 Maran dan Mohammad Rafidee Hashim P087 Kuala Krau.

Manakala kerusi negeri melibatkan Alias Abd Rahman N03 Padang Tengku, Nordin Samat N09 Tahan, Dato Salim Abd Majid N21 Peramu Jaya, Afif Syirol Abdul Rahman N22 Bebor, Zuliana Mohamed N26 Chenor, Faizah Baharom N27 Chenor, Jidi Yaakob N39 Kemayan, Zulkarnain Mohamad Ridzun N40 Bukit Ibam dan Osman A. Bakar N41 Muadzam Shah.

Calon Paya Besar, Mohd Ashraf merupakan seorang bekas wartawan di salah sebuah portal terkenal negara.

Manakala Zuliana dan Faizah merupakan dua calon wanita yang diketengahkan untuk kerusi negeri.