POLITIK

Perkukuh perpaduan parti untuk hadapi PRN Melaka - Shamsul Iskandar

Bernama 21/09/2025 | 04:20 MYT
Shamsul Iskandar (depan, tengah) hadir pada majlis Sambutan 27 Tahun Reformasi anjuran MPN Melaka di Melaka malam tadi. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyeru semua ahli supaya memperkukuh perpaduan demi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun depan.

Beliau berkata perpecahan dan sikap berpuak-puak hanya akan melemahkan parti dalam meraih sokongan dan menjamin kemenangan pada PRN itu nanti.

"Selepas pemilihan, kita harus memautkan kembali hati semua pihak. Membangkitkan titik bengik atau isu kecil selepas selesai pemilihan parti hanya akan melemahkan kekuatan parti sedangkan tumpuan sebenar harus diberikan kepada perjuangan bersama," katanya.

Shamsul Iskandar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan 27 Tahun Reformasi anjuran MPN Melaka yang dihadiri lebih 200 ahli dan kepimpinan PKR di sini malam tadi.

Dewan Undangan Negeri Melaka akan tamat tempoh pada November 2026.

-- BERNAMA


#Shamsul Iskandar Mohd Akin #PRN Melaka #berpuak-puak #pemilihan parti