Perlu gencatan politik, tetapan semula sistem tangani pelbagai masalah - Saifuddin

Harits Asyraf Hasnan
September 1, 2021 08:19 MYT
Saifuddin berkata langkah itu seiring titah nasihat Yang di-Pertuan Agong yang mahukan pergeseran dan pertelingkahan politik dikurangkan. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah menyeru ahli-ahli politik tanpa mengira parti untuk melaksanakan gencatan senjata dan penetapan semula sistem.
Menyifatkan ia sebagai asas terpenting dalam usaha memerangi pandemik COVID-19, Saifuddin berkata, langkah itu juga seiring titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan pergeseran dan pertelingkahan politik dikurangkan.
"Kita akan dapat bertenang dan benar-benar menumpukan perhatian kepada kerja-kerja menangani masalah pandemik COVID-19 dan membangunkan semula ekonomi.
"Waktu bertenang ini juga perlu untuk kita buat penetapan semula selepas kita mengadu dengan pelbagai perkara.
"Saya secara peribadi merasakan bahawa kita perlu set semula sistem, di mana ia mampu menyelesaikan banyak perkara," katanya dalam sidang media khas di Wisma Putra pada Rabu.
Malah, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah menunjukkan keterbukaan dan dibuktikan dengan bertemu tiga pimpinan utama pembangkang beberapa hari selepas dilantik ke jawatan itu.
Menurut beliau, tindakan itu penting untuk rakyat membuat penilaian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.
#Saifuddin Abdullah #gencatan politik #pilihan raya umum #penetapan semula sistem