KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk menolak permohonan Parti Liberal Demokratik (LDP) menyertai gabungan berkenaan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dicapai selepas pihaknya mengadakan perbincangan mendalam.

"Jadi kita ada bincang di peringkat PN, dan lepas konsultasi kita buat dengan pihak Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah) dan rakan-rakan di sini (Sabah)... bahawa kita tidak terima... ataupun kita menolak permohonan daripada LDP itu," katanya.

BACA: Majlis Tertinggi LDP lulus usul sertai PN - Presiden

BACA: Keputusan LDP sertai PN akan dipertimbangkan - Hajiji

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama barisan pemimpin Bersatu di Kota Kinabalu, pada Sabtu.

Sementara itu, beliau menzahirkan rasa bangga dengan kedudukan kukuh Bersatu di negeri ini.

"Saya rasa bangga kerana Bersatu di Sabah ini ialah Bersatu yang terkuat di antara negeri-negeri, termasuk di Semenanjung.

"Sabah saja sudah mencecah lebih 108,000 (ahli) kalau tidak silap saya... dan masih ramai yang masih belum lagi didaftarkan di ibu pejabat," katanya lagi.