JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) akan meneliti enam parti termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang mahu menjadi sebahagian daripada komponen dalam gabungan itu, kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Menurut Mohamad, penelitian mendalam akan dibuat terlebih dahulu sebelum penilaian atau merit diberi.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, penilaian kepada setiap parti itu akan dibuat Sekretariat BN selepas mendapat arahan daripada Dewan Tertinggi BN.

Katanya, keputusan yang hendak dibuat perlu dilakukan secara konsensus membabitkan semua pihak atau parti komponen dalam BN.

"Kita perhalusi semua permohonan yang telah memohon untuk menjadi ahli penuh komponen BN tapi belum ada keputusan lagi sehingga kita perhalusi satu persatu belum ada keputusan.

"(Kita) telah arahkan sekretariat untuk berikan merit kepada setiap satu parti untuk mempertimbangkan untuk sama ada luluskan atau tidak," kata Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Bangunan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Pada Ahad, media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, sebanyak enam parti politik sudah memohon menyertai gabungan itu.

Bagaimanapun, kata beliau, keputusan permohonan itu hanya akan dibuat pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.