KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata permuafakatan semua menteri dan timbalan menteri Persekutuan dari Sabah sangat penting, khususnya dalam usaha menuntut hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata melalui permuafakatan itu, perbincangan akan dapat dilaksanakan dalam pelbagai perkara untuk memajukan Sabah, selain hal berkaitan hak-hak Sabah yang belum ditunaikan kerajaan Persekutuan.

"Hasil daripada perbincangan atau permaufakatan itu, kita akan sampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tindakan lanjut, dan saya percaya suara bersama menteri dan timbalan menteri dari Sabah akan diberi perhatian oleh beliau (Perdana Menteri).

"Saya mencadangkan permuafakatan itu demi rakyat Sabah...kita mahu berikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah, yang mahukan pembangunan pesat di negeri ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di sini hari ini.

Terdahulu sebelum itu, beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Seri Kinabalu di sini.


Ewon berkata rakyat Sabah mempunyai ekspektasi yang tinggi, sehingga mempersoalkan kenapa Sabah hanya ada dua menteri di peringkat kerajaan pusat.

"Kita memahami pandangan daripada rakyat oleh itu saya bersama Armizan (Datuk Armizan Mohd Ali Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)) dan tujuh timbalan menteri, perlu merealisasikan harapan rakyat Sabah melalui permaufakatan ini," tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuannya dengan Hajiji, Ewon berkata ia antaranya bertujuan untuk meningkatkan komitmen kementerian dalam usaha memajukan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Antara fokus kementerian ialah mahu melipatgandakan program di Sabah bagi membantu usahawan, pada tahun hadapan banyak program kementerian yang bakal diadakan di Sabah. Antaranya kita akan mengadakan karnival PKS dan Sambutan Hari Penjaja," katanya.

Beliau berkata kementeriannya juga akan memperbanyakkan sesi libat urus dengan PKS, dewan perniagaan, serta individu, yang mahu menjadi usahawan di Sabah.

Ewon berkata beberapa agensi di bawah kementeriannya yang belum ada di Sabah, bakal membuka pejabat di negeri itu pada tahun hadapan.

"Perkara ini masih dalam perbincangan namun ada dua agensi di bawah kementerian yang bersetuju membuka pejabat di Sabah...perkhidmatan yang akan dilaksanakan oleh agensi itu bakal memberi kebaikan kepada rakyat Sabah," katanya.

-- BERNAMA