PUTRAJAYA: Persefahaman yang tercapai antara ketua-ketua parti di bawah Kerajaan Perpaduan hari ini merupakan isyarat jelas agar pentadbiran menumpukan perhatian untuk memajukan negara, mementingkan tata kelola yang baik, serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua hasrat itu tidak akan mampu dicapai tanpa kerjasama dan sokongan kesemua rakan pimpinan parti baik dari Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak.

Anwar berkata, beliau terharu dengan bentuk sokongan dan komitmen yang diberikan kesemua ketua-ketua parti terlibat, dan ia membolehkan kerajaan menghadapi apa jua permasalahan di Parlimen dengan satu suara, iaitu suara Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Kita tekankan soal tata kelola kerana isu ini besar dalam negara kita, untuk kita kembali ke dasar membersihkan jentera kerajaan, elak apa apa ketelanjuran seperti yang telah berlaku dahulu.

“Kita akui beberapa kenyataan ini dan kita mahu maju. Tetapi pusat pemerhatian kita ialah penjanaan pertumbuhan ekonomi yang harus jadi perhatian kepada, bukan saja di Semenanjung, tapi bersama Sabah dan Sarawak,” katanya ketika menerangkan dasar permuafakatan tersebut.

PANTAU KERAJAAN BAHARU DI SINI!


Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas, menyempurnakan Majlis Menandatangani Pemuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan, di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Selain Anwar selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan, perjanjian itu ditandatangani  Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Openg, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.

[TERKINI] Majlis Menandatangani Permuafakatan Gabungan Kerajaan Perpaduan


Dalam pada itu Anwar berkata, beliau memberi jaminan kepada Hajiji dan Abang Jo, untuk terus mengutamakan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan hal berkaitan kewangan yang menjadi isu besar di Sabah dan Sarawak.

“Saya ingat pertama kali dalam isu yang khusus mengambil kira semangat Perjanjian Malaysia 1963, dan juga beberapa pertimbangan khusus bagi pembangunan dan prinsip dasar yang menyentuh Sabah dan Sarawak.

“Saya juga beri perakuan kepada Premier Sarawak (Abang Jo) dan Ketua Menteri Sabah (Hajiji), hal-hal yang telah disepakati, yang tidak boleh dirungkai, mana yang boleh dilaksanakan, saya beri tempoh satu bulan.

“Dan saya ingin menyebut hal menyangkut kewangan juga jadi isu besar di Sabah dan Sarawak, soal kuasa meluluskan projek dan juga pengiktirafan kepada tenaga jentera di Sabah dan Sarawak, itu dah disiapkan Kementerian Kewangan, dan diserahkan kepada TPM Fadilah untuk pengerusi dan angkat semula kepada saya, untuk diangkat pada mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya lagi.

Ditanya adakah bentuk sokongan itu dapat menjamin kestabilan kerajaan bagi tempoh lima tahun seterusnya, Anwar berkata, beliau yakin dokongan itu akan berterusan.

“Jika anda lihat apa yang disentuh dalam perjanjian ini, perundingan yang rumit untuk mencapai persefahaman. Jadi komitmen masing-masing ialah untuk menyokong kerajaan yang stabil, dan diharapkan sehingga tamat tempoh (Parlimen).

“Sekurang-kurangnya saya sudah bertemu dengan kesemua pemimpin parti, dan saya amat berpuas hati. Saya letakkan kepercayaan dalam rundingan ini. Dan kami semua bersetuju berdasarkan parameter dan polisi yang luas untuk memastikan kerajaan stabil,” katanya lagi.

Anwar berkata, mereka semua sedia maklum tiada satu pun gabungan parti yang dapat membentuk kerajaan sendiri, maka kerajaan hari ini tertubuh atas nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

“Jadi ia memang sesuatu yang masuk akal. Jadi kami semua perlu mencapai persefahaman berdasarkan prinsip dan polisi bersama, jadi tiada sebab untuk kami bercakap tentang perpecahan dan permasalahan (buat masa ini),” katanya lagi.