Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
POLITIK

Perselisihan faham DAP, Dr Akmal: ‘Semua pihak perlu patuhi undang-undang’ - Fahmi

Faida Rahim 17/08/2025 | 06:28 MYT
Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil ketika ditemui media pada majlis Pelancaran Program Kesenian dan Kebudayaan @Lembah Pantai di PPR Kerinchi hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, menggesa semua pihak agar menguruskan perselisihan antara DAP dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh secara berhemah, tanpa mengambil tindakan di luar kerangka undang-undang.


Ringkasan AI
  • Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa agar perselisihan antara DAP dan Ketua Pemuda UMNO diselesaikan secara berhemah dan mengikut undang-undang.
  • Beliau menekankan bahawa rakyat sedang memerhati dan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan atau tindakan buli yang menjejaskan keharmonian.
  • Perselisihan tercetus susulan demonstrasi oleh Dr Muhamad Akmal di Kepala Batas, yang mendorong DAPSY membuat laporan polis di seluruh negara.


Ini kerana rakyat sedang memerhati dan menilai setiap langkah yang diambil, dan beliau berpendapat sebarang tindakan yang bercanggah dengan undang-undang tidak boleh diambil mudah.

“Saya percaya kita perlu uruskan beberapa perkara ini dengan baik kerana rakyat melihat tindakan beberapa pihak yang mengambil tindakan luar dari landasan undang-undang.

"Itu tidak boleh diterima atau dipandang ringan, tapi masih sama, kita perlu faham kenapa rakan-rakan dari DAP menyuarakan pandangan itu.

"Kejadian berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, di bawah Datuk Seri Rizal Merican, saya lihat cara Datuk Seri Rizal menguruskan isu itu sangat baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Budaya@Komuniti Pantai Dalam di Lembah Pantai, hari ini.

Fahmi berkata, semua pihak wajar mencari jalan terbaik untuk meredakan ketegangan, khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan hujung bulan ini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan atau tindakan buli yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

Terdahulu, DAP mengarahkan sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan Muhammad Akmal yang mengetuai perarakan dan demonstrasi di hadapan sebuah kedai logam di Kepala Batas, baru-baru ini.

Kelmarin, Muhammad Akmal tiba di IPD Dang Wangi pada jam 11 malam bersama peguamnya, Aizat Azam, dan beberapa peguam lain.

Kehadirannya bagi memberi keterangan berhubung demonstrasi berkenaan.

Lebih 50 penyokong hadir untuk memberikan sokongan kepada Muhamad Akmal sepanjang proses rakaman keterangan dijalankan.

Mengulas lanjut, Muhammad Akmal bekata himpunan yang diadakan di Kepala Batas, kelmarin berlangsung secara aman tanpa sebarang provokasi.






#Fahmi Fadzil #sambutan hari kebangsaan #DAP #UMNO #isu perselisihan faham #isu bendera terbalik