Pertama kali pemimpin tertinggi kerajaan masuk ke Pos Sinderut

Arfa Yunus
Januari 17, 2019 13:46 MYT
Kehadiran Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi harapan kepada penduduk di sini. - Foto Astro AWANI/Arfa Yunus
Perjalanan dari Sungai Koyan ke Pos Sinderut melalui jalan kecil, berlubang, berlumpur, licin dan dikelilingi cerun-cerun bukit mengambil masa hampir tiga jam.
Apa yang dapat disimpulkan adalah, perjalanan ke Pos Sinderut amat berbahaya dan inilah laluan harian komuniti Orang Asli yang tinggal jauh dari ketamadunan serta pemodenan.
Tanggal 17 Januari 2019, buat kali pertama penduduk Pos Sinderut melihat kelibat menteri serta ahli-ahli politik ternama negara.
"Sebelum ini tak pernah ada menteri atau pemerintah datang menjenguk kami di sini walaupun sejak pemerintahan dulu (kerajaan Barisan Nasional)," kata seorang penduduk Pos Sinderut, Norman, pada Khamis.
Kehadiran Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi harapan kepada penduduk di sini.
Rata-rata, keinginan mereka adalah untuk mendapatkan kemudahan asas serta sebuah sekolah menengah agar anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.
"Isu tanah adat juga penting kerana itu nyawa kami sebenarnya," kata Norman.
Pengundi Cameron Highlands akan memilih Ahli Parlimen baharu mereka pada 26 Januari ini manakala hari pengundian awal pada 23 Januari.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon Pakatan Harapan M. Manogaran, calon BN Ramli Md Nor serta dua calon Bebas iaitu Wong Seng Yee dan Sallehudin Talib.
#Anwar Ibrahim #Barisan Nasional #Cameron Highlands #Fuziah Salleh #Lim Guan Eng #Norman #Orang Asli #Pakatan Harapan #pilihan raya kecil #Pos Sinderut #PRK Cameron Highlands #Sungai Koyan