KUALA LUMPUR: Pas menyambut baik budaya berpolitik yang mengutamakan perdamaian seperti yang ditunjukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi pertemuan beliau dengan tiga pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya semalam.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pendekatan diplomasi yang ditunjukkan oleh kerajaan dengan pihak berkaitan bagi menangani isu rakyat dan negara merupakan suatu budaya politik yang mesti diperkasakan.

Bahkan, tegas beliau, Pas turut berharap budaya politik matang yang mengutamakan kesejahteraan negara menjadi dimensi baharu bagi setiap bentuk sikap, pemikiran dan tindakan yang diterjemahkan oleh ahli-ahli politik.

“Pendekatan Pas melalui Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) melihat suasana semak dan imbang yang diperanankan oleh pembangkang merupakan suatu budaya politik yang mesti diperkasakan.

“Segala tindakan kerajaan yang baik untuk negara didukung manakala yang salah diperbetulkan,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Pada Rabu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pimpinan utama PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah) di pejabatnya di Putrajaya.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, Ismail Sabri dan ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.



Pentadbiran | Pakatan Harapan sedia ketepikan isu politik

BACA: Pertemuan bersama PH: Capai kesepakatan agenda kepentingan rakyat - PM

BACA: PH tiada masalah jika PM komited tangani COVID-19, ekonomi rakyat - Anwar


Sementara itu, Tuan Ibrahim juga memberitahu, pertemuan Perdana Menteri dengan pemimpin-pemimpin pembangkang seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar Ahli-ahli Dewan Rakyat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati berusaha menangani COVID-19.