AYER KEROH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meminta semua pihak untuk menunggu pengumuman rasmi berhubung desas-desus pertukaran Ketua Menteri Melaka, Jumaat ini.

Beliau yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri berkata, pengumuman rasmi berkaitan perkara itu termasuk yang mengaitkan namanya sebagai Ketua Menteri Melaka baharu akan dibuat dalam tempoh terdekat ini.

“Saya tidak boleh memberikan apa juga komen tentang spekulasi ini.

“Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak yang akan memberikan pengumuman sedikit masa lagi ya,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO negeri di Kompleks Seri Negeri, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada spekulasi itu dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan beliau mengatakan tiada keperluan untuk membangkitkannya dalam mesyuarat tersebut.

“Tidak perlu bincang sebab tidak ada kena mengena,” katanya.

Angin politik Melaka kembali bertiup kencang selepas Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dijangka akan melepaskan jawatan itu.

Difahamkan jawatan itu akan digantikan oleh Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara.

Menurut sumber terdekat Pejabat Ketua Menteri, Istiadat Angkat Sumpah berkenaan akan diadakan pada pukul 3 petang Jumaat ini di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.