Skip to main content
Advertisement

Politik

Perwakilan DAP terima kerjasama dengan UMNO sebagai realiti politik - Loke

Anthony Loke -- Astro AWANI
Anthony berkata keputusan dengan sokongan hampir 88 peratus itu perlu dihormati, namun pada masa sama mengiktiraf hak perwakilan yang memilih untuk menolak usul berkenaan. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Perwakilan DAP memilih untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, dengan memahami realiti politik semasa yang memerlukan kerjasama antara parti.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu difahami perwakilan ketika memberikan mandat kepada parti untuk kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen.

“Perwakilan telah mengundi supaya kita kekal dalam kerajaan. Ini adalah kehendak perwakilan dengan memahami bahawa kita perlu bekerjasama dengan UMNO.

“Ini adalah realiti politik yang difahami oleh semua perwakilan. Sebab itulah perkara ini dibawa ke Persidangan Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini

Menurut Anthony, meskipun terdapat perbezaan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, kestabilan pentadbiran perlu dipertahankan bagi memastikan agenda yang diperjuangkan dapat dilaksanakan.

“KIta perlu pastikan kerajaan kekal stabil agar apa sahaja yang dibincang dan diperjuangkan terlaksana. Ini juga satu perkara yang penting. Kita tidak mahu mewujudkan satu lagi ketidakstabilan dalam kerajaan,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 1,857 daripada 2,099 undi sah menyokong usul supaya DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, manakala 242 undi tidak menyokong.

Anthony berkata keputusan dengan sokongan hampir 88 peratus itu perlu dihormati, namun pada masa sama mengiktiraf hak perwakilan yang memilih untuk menolak usul berkenaan.

“Walaupun mereka tidak berpuas hati dan mungkin mempunyai pandangan sendiri yang tidak mahu melihat parti kekal dalam kerajaan, mereka dapat menghormati serta menyokong kepimpinan untuk terus memainkan peranan kita secara konstruktif,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement