KUALA LUMPUR:Pakatan Harapan (PH) belum menerima sebarang maklum balas mengenai pengaktifan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat biarpun telah menyerahkan senarai nama wakil mereka dua minggu lalu.

Dalam satu kenyataan media, PH menegaskan apa yang berlaku itu sangat mendukacitakan kerana pihaknya diberi gambaran bahawa jawatankuasa tersebut penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat.

"Majlis Presiden turut membincangkan isu Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang telah diumum pada 12 Januari lalu. Senarai nama telah diberi kepada pihak Kerajaan pada 21 Januari lalu, iaitu lebih dua minggu yang lalu.

"Namun sehingga hari ini kami belum menerima sebarang maklum balas berkenaan pengaktifan jawatankuasa tersebut.

"Ini amat mendukacitakan kerana kami diberi gambaran bahawa jawatankuasa ini penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat," menurut kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Setiauasaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Ramly dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke.

PH juga mengulangi pendirian bahawa pilihanraya tidak perlu diadakan dalam tempoh Malaysia berdepan pandemik COVID-19 kerana mandat yang diberikan rakyat sah sehingga 2023.

Sebaliknya, PH kekal dengan pandangan bahawa apa yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional ialah mengembalikan mandat tersebut kepada pihak yang sepatutnya dengan segera.

"Majlis Presiden turut mempertikai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membangkitkan isu pilihan raya. Amat jelas rakyat Malaysia tidak inginkan pilihan raya pada waktu ini, tetapi mahu kestabilan politik untuk menyelesai isu pandemik dan ekonomi.

"Maka Pakatan Harapan kekal dengan pendirian bahawa pilihan raya tidak diperlukan memandangkan mandat yang diberikan rakyat pada PRU14 adalah sah sehingga 2023.

"Yang diperlukan adalah pengembalian mandat tersebut kepada pihak yang sepatutnya, pada kadar segera," kata kenyataan itu lagi.

PH juga berpendirian bahawa segala kuasa yang diperlukan bagi menangani pandemik COVID-19 dan juga mengatasi kelembapan ekonomi sudah terkandung di dalam undang-undang sedia ada.