POLITIK

PH Selangor nyata sokongan penuh terhadap Amirudin kekal MB

Farhan Hakimi 31/05/2025 | 10:45 MYT
Amirudin (gambar) dilihat sebagai kunci kepada kesepaduan PH dan BN menjelang pilihan raya akan datang. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM : Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor hari ini menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi agar Datuk Seri Amirudin Shari terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor sehingga tamat penggal pentadbiran sedia ada.


Ringkasan AI
  • Sokongan Penuh untuk Kekal sebagai MB: Tiga pimpinan utama PH Selangor menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi agar Amirudin terus menerajui Kerajaan Negeri Selangor sehingga tamat penggal bagi memastikan kestabilan pentadbiran.
  • Pelaksanaan Dasar dan Projek Utama: Kepimpinan Amirudin dianggap penting dalam meneruskan Rancangan Selangor Kedua, pembangunan Pelabuhan Pulau Carey, agenda Iltizam Selangor Penyayang, serta pembinaan semula Kompleks Stadium Shah Alam.
  • Peranan dalam Kerjasama Politik dan Ekonomi: Amirudin dilihat sebagai kunci kepada kesepaduan PH dan BN menjelang pilihan raya akan datang, serta berperanan dalam memastikan Selangor kekal sebagai gedung ekonomi negara dan menyokong agenda Malaysia Madani.


Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh tiga pimpinan utama parti komponen PH Selangor, sokongan itu adalah selaras dengan keperluan memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor kekal stabil dan kukuh bagi melaksanakan pelbagai dasar serta inisiatif yang telah dirangka.

Antara dasar utama yang dinyatakan termasuklah pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua, pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, agenda Iltizam Selangor Penyayang, pembangunan Kompleks Stadium Shah Alam dan pelbagai inisiatif lain.

"Kesinambungan kepimpinan utama negeri akan memberi mesej positif kepada para pelabur dan komuniti peniagaan di Selangor," kata kenyataan itu.

PH Selangor turut berpandangan bahawa kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi PH Selangor amat penting dalam memperkukuh kerjasama bersama Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

"Pengalaman dan kepimpinan beliau adalah kunci kepada kesepaduan yang telah dibentuk sehingga membawa kepada kemenangan serta pembentukan Kerajaan Perpaduan di Selangor pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.

"Selaku seorang pentadbir yang berpengalaman, kami juga berpandangan khidmat Datuk Seri Amirudin Shari turut diperlukan di Selangor bagi membantu memastikan Selangor terus kekal menjadi gedung ekonomi negara sekali gus menjayakan agenda Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujar kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Timbalan Pengerusi PH Selangor, Ng Sze Han merangkap Pengerusi DAP Selangor, Timbalan Pengerusi PH Selangor, Datuk Izham Hashim merangkap Pengerusi Amanah Selangor dan Naib Pengerusi PH Selangor, Datuk Borhan Aman Shah merangkap Timbalan Pengerusi Keadilan Selangor.



#Pakatan Harapan #Amirudin Shari #PH Selangor #MB Selangor #zahir sokongan #terkini