Pilihan raya Fiji: Liputan kempen dihentikan menjelang pembuangan undi Rabu ini

Faida Rahim
Disember 12, 2022 11:41 MYT
Kesemua parti politik dikehendaki membawa turun sepanduk, poster dan bendera dari lapangan.-REUTERS
SUVA: Fiji bakal menyaksikan pilihan raya umum ketiga negara itu pada Rabu ini sejak Perdana Menteri dan bekas komander tentera, Frank Bainimarama memerintah 16 tahun lalu.
Memetik REUTERS, di bawah undang-undang Pilihan Raya Fiji, larangan liputan kempen dilaksanakan bermula hari ini hingga pusat pengundian ditutup pada petang Rabu nanti.
Susulan itu, kesemua parti politik dikehendaki membawa turun sepanduk, poster dan bendera dari lapangan.
Ketua tentera Fiji, Mejar Jeneral Ro Jone Kalouniwai, turut mengingatkan pegawai dalam ucapannya bulan ini agar "menghormati proses demokrasi dengan menghormati keputusan pengundian".
Ini bagi mengurangkan kebimbangan proses pilihan raya terganggu yang berkemungkinan boleh membawa kepada sebuah lagi rampasan kuasa di negara itu.
Fiji yang merupakan hab perdagangan dan pengangkutan Pasifik dengan populasi penduduk seramai 900,000, termasuk kumpulan etnik India terbesar.
Negara itu mempunyai sejarah rampasan kuasa tentera sehingga perlembagaan diubah pada 2013 untuk menghapuskan sistem pilihan raya berasaskan kaum.
Kumpulan pemerhati multinasional yang diketuai oleh Australia, India dan Indonesia akan memantau kira-kira 90 pemerhati pilihan raya di pusat mengundi dan pusat pengiraan undi.
Perdana Menteri Frank Bainimarama, yang berkuasa sejak rampasan kuasa pada 2006, memenangi pilihan raya demokratik pada 2014 dan 2018.
Bainimarama mempunyai profil antarabangsa yang kuat untuk advokasi perubahan iklim dan pernah menjadi pengerusi Forum Kepulauan Pasifik, blok diplomatik serantau dalam hal menguruskan ketegangan keselamatan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat dan China.
Sementara itu, Bainimarama dijangka berdepan cabaran kerana ditentang oleh bekas pemimpin rampasan kuasa dan perdana menteri, Sitiveni Rabuka dari Parti Perikatan Rakyat yang membentuk gabungan dengan parti politik tertua Fiji, Parti Persekutuan Kebangsaan (NFP).
#Pilihan Raya Fiji #Frank Bainimarama #rampasan kuasa #Mejar Jeneral Ro Jone Kalouniwai