Pilihan raya mengejut: Amanah gesa PH segera persiapkan jentera

Astro Awani
Jun 20, 2020 07:38 MYT
Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan berkata, persediaan perlu dibuat kerana pilihan raya mengejut (snap election) mungkin boleh berlaku dalam tempoh terdekat. - Gambar BERNAMA
Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) agar mempersiapkan jentera pilihan raya dengan kadar segera.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan hari ini berkata, persediaan perlu dibuat kerana pilihan raya mengejut (snap election) mungkin boleh berlaku dalam tempoh terdekat.
“Amanah menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab PH bersama gabungan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya serta WARISAN untuk terus berusaha mengambil balik mandat dan hak rakyat yang telah diberikan kepada PH dalam pilihan raya lepas.
“Ini adalah untuk meneruskan usaha mentadbir negara yang menjunjung keutuhan integriti, menjamin dan membentuk ekonomi yang mapan, menegakkan kerajaan berintegriti dan melawan rasuah serta mewujudkan keharmonian antara kaum dan agama,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Mohamad berkata Amanah juga peka dengan kerisauan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Tegasnya lagi, amalan memperalatkan kedudukan dan jawatan sebagai habuan untuk meraih sokongan ahli-ahli Parlimen akan menyebabkan kepentingan institusi negara terjejas.
“Salah guna institusi penguatkuasaan dan perundangan untuk mendakwa dan memberikan tekanan terhadap pemimpin pembangkang juga dilihat menjadi amalan baharu kerajaan,” katanya.
#Amanah #ekonomi #election #integriti #kerajaan #Mahathir Mohamad #Mohamad Sabu #Pakatan Harapan #Parlimen #Parti Amanah Negara #pembangkang #Perikatan Nasional #PH #pilihan raya #PN #politik #presiden #rakyat #Rasuah #Warisan