"Pilihan raya umum mungkin diadakan dalam masa terdekat" - Musa Hitam

Hilal Azmi
Ogos 10, 2016 09:13 MYT
Pelancaran buku "Frankly Speaking" hari ini disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto Astro AWANI
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.
Katanya, jangkaan itu berasaskan kepada kedudukan BN yang dilihat mahu terus memperkukuhkan kedudukan dalam mengharungi perubahan landskap politik semasa.
"Saya rasa, Barisan Nasional akan mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat. Jangan tanya saya bila, itu kamu kena tafsir sendiri," ujarnya ketika ditanya selepas pelancaran buku berjudul 'Frankly Speaking' hasil tulisan beliau di sini hari ini.
Katanya lagi, keputusan mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat juga bakal menjadi cabaran besar kepada pembangkang terutamanya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sedang dalam permohonan untuk pendaftaran.
Kelebihan juga berpihak kepada BN apabila parti pimpinan beberapa bekas pemimpin UMNO itu dilihat belum mampu membentuk gabungan kuasa yang cukup padu untuk memberikan cabaran.
#Barisan Nasional #Bersatu #Frankly Speaking #Musa Hitam #pilihan raya umum #Sultan Nazrin Muizzuddin Shah