Pilihanraya Negeri Sarawak: Pas pertaruh calon bukan Islam, wanita

Harits Asyraf Hasnan
April 6, 2016 15:59 MYT
Seorang calon bukan Islam dan seorang wanita adalah antara 11 calon Pas yang akan diletakkan parti itu dalam usaha untuk bertapak dalam politik Sarawak pada pilihan raya negeri ke-11. -Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan
Seorang calon bukan Islam dan seorang wanita adalah antara 11 calon Pas yang akan diletakkan parti pembangkang itu dalam usaha untuk bertapak dalam politik Sarawak pada pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11).
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Majlis Pengumuman Calon Pas PRN Sarawak memaklumkan lima daripada 11 calon itu berusia di bawah 35 tahun, terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk kalangan profesional dalam syarikat multinasional, pesara, usahawan dan bekas penjawat awam.
Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Negeri Sarawak, Clement Bayang, 59 tahun, bakal diletakkan di N60 Kakus.
Clement, berbangsa Iban, pernah bertanding di kerusi DUN Kemena sebelum ini.
Sementara calon wanita Pas ialah Setiausaha Dewan Muslimat Negeri Sarawak, Hamidah Mokhtar.
Hamidah, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat Perniagaan, Universiti Teknologi Petronas (UTP), akan diletakkan di DUN Beting Maro.
Selain DUN Kemena dan DUN Beting Maro, sembilan kawasan DUN yang akan ditandingi Pas adalah di Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju yang merupakan kawasan DUN baharu.
Jelas Abdul Hadi, Pas meletakkan calon dalam PRN-11 bertujuan menyuburkan amalan demokrasi di Sarawak dengan memberi pilihan yang pelbagai kepada rakyat Sarawak memilih mana-mana calon yang diyakini boleh mewakili mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kita juga akan menjadi unsur semak dan imbang kepada mana-mana kerajaan yang akan dibentuk nanti," kata Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Selain yakin Pas mampu memberi saingan kepada parti lain, Abdul Hadi berpandangan beberapa kerusi DUN Sarawak akan dapat diduduki kali ini.
Berikut senarai sembilan lagi nama calon seperti diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
N74. PUJUT
▶ Tuan Haji Jofri Bin Haji Jaraiee
Jawatan Dalam Pas: Pesuruhjaya Pas Negeri Sarawak dan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Miri
N72. LAMBIR
▶ Encik Mohammad Arifiriazul Bin Paijo
Jawatan Dalam Pas: Exco Dewan Pemuda Pas Malaysia dan Ketua Pemuda Pas Negeri Sarawak
N70. SAMALAJU
▶ Engr. Zharudin Bin Narudin
Jawatan Dalam Pas: Pengarah Pilihanraya Pas Negeri Sarawak dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Negeri Sarawak
N67. JEPAK
▶ Tuan Haji Kiprawi Bin Aman
Jawatan Dalam Pas: Ketua Penerangan Pas Negeri Sarawak dan Ketua Penerangan Pas Kawasan Bintulu
N27. SEBUYAU
▶ Ustaz Haji Wan Abdillah Bin Wan Ahmad
Jawatan Dalam Pas: Aktivis Pas di Sebuyau di bawah Pas Kawasan Batang Lupar
N24. SADONG JAYA
▶ Cikgu Asan Bin Singkro
Jawatan Dalam Pas: Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Sarawak dan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Batang Sadong
N16. MUARA TUANG
▶ Encik Zulkipli Bin Ramzi
Jawatan Dalam Pas: Bendahari & Setiausaha Kerja (SUK) Badan Perhubungan Pas Negeri Sarawak dan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Kota Samarahan
N7. SAMARIANG
▶ Ustaz Yusof Assidiqqi Bin Ahmad Sharkawi
Jawatan Dalam Pas: Penyelaras Urusan Ulamak Pas Kawasan Petrajaya, Pengerusi Lajnah Tarbiyah dandan Pengarah Jabatan IT Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan
N4. PANTAI DAMAI
▶ Encik Zainal Abidin Bin Yet
Jawatan Dalam Pas: Timbalan Yang Dipertua (TYDP) dan Pengarah Pilihanraya Pas Kawasan Santubong
#calon PAS #Clement Bayang #DHPP #HADI AWANG #Hamidah Mokhtar #Pilihanraya Negeri Sarawak