SHAH ALAM: BN didakwa telah mempunyai kata sepakat dalam membuat keputusan berhubung kerjasama gabungan parti itu untuk membentuk kerajaan dengan gabungan parti lain.

Perkara itu sekali gus hampir menjawab teka-teki sama ada BN akan memilih Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) untuk melengkapkan majoriti bagi membentuk kerajaan.

Sinar Harian difahamkan, perkembangan itu berdasarkan intipati Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung selama kira-kira 2 jam pada petang Isnin membabitkan pimpinan tertinggi komponen-komponen parti.

"Mesyuarat okey. Semua bersatu hati. Dah ada (keputusan).

"Nanti (BN) akan keluar kenyataan media. Cuma tak pasti apa isi kandungan kenyataan itu nanti," katanya sumber kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, difahamkan satu lagi Mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan berlangsung pada Selasa di Menara Dato' Onn sebagai proses peringkat akhir untuk gabungan itu membuat keputusan.

Ia selari dengan kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang ditemui media sebaik selesai Mesyuarat Dewan Tertinggi pada Isnin bahawa pendirian parti tersebut dalam soal kerjasama dengan PH adalah tertakluk kepada mesyuarat yang akan datang.

Mesyuarat dipercayai akan berlangsung sebelah pagi mengambil kira kesemua parti politik mempunyai tempoh masa sehingga 2 petang sahaja untuk memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan kerajaan campuran yang bakal dibentuk.

Sementara itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dikatakan sepatutnya berlangsung pada malam Isnin juga tidak berlaku.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi yang dipertandingkan membuatkan tiada mana-mana pihak yang boleh membentuk kerajaan.

Susulan itu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun diminta untuk memohon kepada ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak istana mengenai gabungan yang telah dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu.

Tempoh diberikan sepatutnya telah berakhir pada 2 petang Isnin, namun Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melanjutkan tempoh masa kepada parti politik untuk membentuk kerajaan sehingga jam 2 petang Selasa. -Sinar Harian