KUALA LUMPUR: Pimpinan UMNO akan menulis surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mendapatkan kelulusan mengenai pindaan Perlembagaannya, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, setakat ini usul untuk menangguhkan pemilihan parti itu telah dipersetujui sebulat suara perwakilan dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini.

Menurut beliau, surat itu akan dihantar mengikut prosedur yang ditetapkan, iaitu dalam masa 60 hari dari tarikh hari ini.

“Seperti mana yang kita tahu usul itu sudah lulus sebulat suara dan selepas ini UMNO akan menulis surat kepada Pendaftar Pertubuhan untuk mendapatkan kelulusan. Itu sajalah daripada segi prosedur dia.

“Kita tak tahu (jika ROS ada masalah untuk luluskan pindaan), kerana kita akan hantar permohonan untuk kebenaran daripada ROS tentang pindaan itu, jadi kita tunggu lah, kita pun tak tahu lagi, dalam masa 60 hari kena hantar (surat),” katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Mengikut laporan Bernama, usul pindaan itu yang membabitkan Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 terdahulu dibentangkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled di hadapan 2,586 perwakilan yang hadir.

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas

Untuk rekod, tempoh 18 bulan itu akan tamat pada hujung tahun ini dan pemilihan parti perlu diadakan sebelum 30 Disember ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, UMNO sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum sejak dahulu lagi, bukan semata-mata kerana pindaan telah dilakukan.

“UMNO dah bersedia dari dulu lagi pilihan raya, bukan kerana hari ini. Tarikh itu ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan daripada mesyuarat Kabinet, kita akan bawa kepada mesyuarat Kabinet.

“Parti adalah berbeza dengan kerajaan kerana parti pun tahu kalau ada cadangan, bawa ke Kabinet dan Kabinet akan memutuskan.

“Kalau Kabinet memutuskan tarikh, Kabinet akan memberi mandat kepada saya, untuk berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong. Itu saja daripada segi prosedur. Jadi apa yang berlaku hari ni, adalah lain. Ini adalah dari segi pemilihan dalam parti,” kata Perdana Menteri lagi.