POLITIK

PKR ambil maklum hasrat UMNO bentuk gabungan besar parti Melayu Islam - Fahmi

Pia Ernadya 18/01/2026 | 03:20 MYT
Fahmi berkata, beliau akan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sama ada PKR ada menerima sebarang jemputan rasmi ke arah membentuk gabungan besar parti Melayu Islam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: PKR mengambil maklum hasrat UMNO untuk membentuk sebuah gabungan besar melibatkan parti-parti politik Melayu-Islam.

Ketua Penerangannya Datuk Fahmi Fadzil berkata, hasrat berkenaan telah pun disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) ada memaklumkan kepada Perdana Menteri.

“Jadi, dalam kalangan pimpinan, pucuk pimpinan, mereka faham tentang perkara ini,” katanya ketika ditemui media di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa UMNO berhasrat membentuk sebuah gabungan besar yang melibatkan beberapa parti politik Melayu dan Islam.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, parti itu akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan utama ‘Top 10’ semua parti yang berhasrat mengadakan kolaborasi ini.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, beliau akan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sama ada PKR ada menerima sebarang jemputan rasmi.

“Biasanya, kalau urusan surat ataupun jemputan rasmi, akan dipanjangkan kepada Setiausaha Agung.

“Bagi Keadilan, saya belum bercakap dengan Setiausaha Agung Datuk Fuziah Salleh, sama ada kita telah terima apa-apa jemputan seperti yang disebutkan itu,” tambahnya.




#Ahmad Zahid Hamidi #UMNO #gabungan besar parti Melayu Islam #Fahmi Fadzil