POLITIK

PKR balas kenyataan Hadi: Pengampunan Najib dan Anwar berbeza

Seth Akmal 25/12/2025 | 11:00 MYT
Amidi berpendapat kedua-dua pemimpin telah membuat rayuan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, namun natijahnya berbeza. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan memimpin kerana telah dihukum.

Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan, berkata bahawa kedua-dua pemimpin telah membuat rayuan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, namun natijahnya berbeza.

“Satu mendapat pengampunan penuh dan satu lagi tidak,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu melalui kolum Minda Presiden pada Rabu berpendapat Najib berhak memohon hukuman diringankan walaupun tetap tidak mengaku bersalah sebaliknya beliau menyifatkan Anwar hilang maruah kerana memohon pengampunan.

“Kalau bermaruah, sepatutnya tetap tidak mengaku salah walaupun dihukum. Ada orang sanggup mati kerana mempertahankan maruahnya,” kata Hadi Awang.

Amidi dalam respons balasnya berkata mahkamah akur dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan atau meringankan hukuman Najib, dan bukannya menolak bulat-bulat.

“Berkenaan pengampunan Anwar, ia amat berbeza kerana pengampunan penuh dibincangkan dengan jelas dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan,” katanya lagi.

Pada masa sama, Amidi turut menyoal prinsip Abdul Hadi berkenaan beberapa pemimpin Pas yang memohon maaf akibat dakwaan fitnah yang dinyatakan sebelum ini.

“Apakah asas moral (Menteri Besar Kedah) Datuk Seri Sanusi meminta maaf kepada Anwar kerana memfitnah dan juga (Menteri Besar Selangor) Datuk Seri Amiruddin kerana memperlecehkan Sultan Selangor?,” soal Amidi lagi.







#Abdul Hadi Awang #Anwar Ibrahim #PAS #Najib Razak