KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pengarah Bersama Pilihan Raya.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh memaklumkan keputusan tersebut dicapai susulan mesyuarat Biro Politik parti yang berlangsung semalam.
“Biro Politik KEADILAN telah bermesyuarat dan bersetuju dengan beberapa penyusunan strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Fuziah turut memaklumkan pelantikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya. Menurutnya, langkah itu bertujuan memperkukuh penyelarasan strategi, operasi lapangan dan pemantauan gerak kerja parti.
Beliau berkata pelantikan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menstruktur semula gerak kerja pilihan raya agar lebih tersusun dan menyeluruh di semua peringkat.
“Penyusunan ini juga merupakan kesinambungan kepada asas gerak kerja yang telah dibina sebelum ini, termasuk pengukuhan struktur pilihan raya, penyelarasan antara negeri dan cabang," kata Fuziah.
Selain itu, tambah beliau, penggunaan data dan teknologi turut dipertingkat melalui pengenalan sistem pilihan raya TERAS.
Kenyataan itu juga menjelaskan peranan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti jentera serta pengukuhan gerak kerja parti.
Dalam perkembangan sama, Fuziah turut memaklumkan jumlah keahlian baharu PKR setakat April dan Mei mencecah 5,936 orang.