Skip to main content

Politik

PKR Melaka umum calon PRN lebih awal

MELAKA, 29 Ogos -- Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka Adam Adli Abd Halim yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (dua, kanan) menyerahkan bendera parti kepada wakil-wakil jentera pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Keadilan Cabang Hang Tuah Jaya, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Adam Adli (dua, kanan) menyerahkan bendera parti kepada wakil-wakil jentera pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Keadilan Cabang Hang Tuah Jaya, Melaka, 29 Ogos 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka berhasrat mengumumkan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang lebih awal bagi memberi ruang kepada muka baharu membuat persiapan secukupnya sebelum berdepan pengundi.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka Adam Adli Abdul Halim berkata proses pemilihan calon kini melalui beberapa peringkat saringan bermula di peringkat cabang dan negeri sebelum dikemukakan ke peringkat pusat untuk dimuktamadkan oleh presiden parti.

“Kami ada sejarah beberapa kali sebelum ini, atas banyak faktor kami susah nak keluarkan nama calon awal. Jadi, kali ini kami sudah pun pastikan bahawa kami boleh buat persediaan lebih awal kerana banyak juga muka baharu yang kami cuba tampilkan.

“Ini juga untuk pastikan ada keseimbangan suara antara wanita dan golongan muda. Dengan faktor-faktor berkenaan, ertinya kami kena siapkan calon-calon ini dengan lebih awal,” katanya selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya Keadilan Cabang Hang Tuah Jaya di Taman Bukit Piatu di sini malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata PKR Melaka turut memperkukuh persiapan jentera menerusi siri pelancaran jentera di Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Jasin.

Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan parti mempunyai jentera yang kukuh dan bersedia bekerja tanpa mengira siapa calon yang bakal dipilih.

“Sebelum kami namakan sebarang calon, yang paling mustahak adalah untuk kami pastikan kami ada jentera yang solid, jentera yang bekerja untuk parti dan bersedia untuk mengangkat mana-mana calon yang kami letak dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai rundingan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berkata perbincangan biasa antara parti-parti politik sudah dibuat, namun rundingan rasmi bagi memuktamadkan bentuk kerjasama masih belum diadakan.

Menurut Adam Adli, komunikasi antara parti bukan sahaja penting untuk membincangkan kemungkinan kerjasama, malah bagi memastikan persaingan pilihan raya berlangsung secara lebih sihat serta mengelakkan budaya politik kasar dan kotor.

“PH dan BN bagaimanapun telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan, dengan Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari telah berhubung dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi mencari masa yang sesuai untuk pertemuan,” katanya.

Adam Adli berkata PH juga mempunyai persediaan sendiri untuk menghadapi PRN Melaka dan tidak menolak kemungkinan bergerak secara solo sekiranya rundingan dengan BN gagal mencapai persetujuan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement