POLITIK

PKR mesti diberi amaran, UMNO perlu tuntut RM100 juta dari Tengku Zafrul - Puad

Astro Awani 31/05/2025 | 01:50 MYT
Menurut Puad, UMNO juga perlu menyemak semula akujanji yang ditandatangani oleh Tengku Zafrul ketika menjadi calon BN pada PRU15, termasuk kemungkinan menuntut pampasan sebanyak RM100 juta jika tindakan itu dianggap sebagai lompat parti.
KUALA LUMPUR: UMNO digesa mengambil tindakan tegas terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz susulan keputusan beliau keluar parti dan menyatakan hasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, UMNO juga perlu menyemak semula akujanji yang ditandatangani oleh Tengku Zafrul ketika menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk kemungkinan menuntut pampasan sebanyak RM100 juta jika tindakan itu dianggap sebagai lompat parti.

“Saya akan desak UMNO semak balik akujanji semasa Zafrul menjadi calon BN. Apakah beliau boleh dituntut bayar ganti rugi sebanyak RM100 juta kerana lompat parti?” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dr Puad, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, turut menegaskan isu berkenaan akan dibawa ke mesyuarat MKT akan datang.

“Saya pasti akan bangkitkan isu Tengku Zafrul mahu sertai PKR dalam mesyuarat MKT nanti,” katanya lagi.

Tambah beliau, UMNO tidak boleh sekadar menyatakan rasa kesal jika PKR menerima penyertaan Tengku Zafrul, sebaliknya mesti mengambil langkah tegas termasuk menegur Presiden PKR secara terbuka.

“Mesti ada perbincangan awal secara sulit yang jadi punca Zafrul sertai PKR. Takkan bertepuk sebelah tangan. UMNO mesti menegur Presiden PKR,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.


Dr Puad turut memberi amaran, tindakan menerima bekas pemimpin UMNO tanpa rundingan boleh menggugat kepercayaan akar umbi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“PKR mesti diberi amaran. Jika dibiarkan, tikam belakang akan berlaku lagi. Jangan salahkan UMNO jika ahli hilang kepercayaan terhadap PMX. Kerjasama Kerajaan Perpaduan boleh hancur,” ujarnya.

Pada malam Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan keluar daripada UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak 1997.

Tengku Zafrul sebelum ini mengakui terdapat perbincangan awal bersama PKR pada Disember lalu, namun ketika itu tiada keputusan muktamad dibuat berhubung penyertaannya.








#Tengku Zafrul #UMNO #PKR #Mohd Puad Zarkashi