IPOH:Kesediaan Parti Keadilan Rakyat  (PKR) Perak untuk bekerjasama dengan semua pihak, hanya akan menyegerakan penubuhan sebuah kerajaan negeri yang dapat memupuk semangat perpaduan.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, adalah bagi semua pemimpin politik agar mencari formula terbaik.

Menurutnya, jika semua pihak bekerjasama, maka wujudlah satu landskap politik yang baharu dan berteraskan perpaduan, sejajar dengan titah Tuanku.

“Semua parti politik perlu lebih matang dan mengambil sikap yang terbuka,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, negara memerlukan pemahaman landskap politik baharu yang dapat menyatukan semua kaum dalam menempuh cabaran dunia pasca COVID-19 secara muafakat.

“PKR Perak menjemput semua ahli politik agar mengutamakan perpaduan demi kesejahteraan rakyat.

“Sebarang usaha perdamaian amat penting pada masa ini agar kepentingan rakyat tidak terabai,” ujarnya.

Beliau berharap pemimpin politik tidak mengabaikan tanggungjawab hanya kerana tidak bersefahaman.

“Apa yang jelas adalah kita bersedia memberikan sokongan kepada kerajaan yang mengutamakan semangat kesepakatan,” ujarnya.