Skip to main content
Advertisement

Politik

PKR perlu dengar suara rakyat, perkukuh penerangan - Ramanan

ELAKA, 16 Ogos -- Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri R Ramanan ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri R Ramanan berkata, setiap keputusan pilihan raya perlu dilihat sebagai mesej daripada rakyat dan ruang untuk parti menilai semula pendekatan serta memperkemas gerak kerja. - Gambar/ Bernama
Advertisement

AYER KEROH: PKR perlu berani mengakui dan memperbaiki kekurangan, selain memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi dengan memberi keutamaan kepada suara serta keresahan rakyat.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan berkata, setiap keputusan pilihan raya perlu dilihat sebagai mesej daripada rakyat dan ruang untuk parti menilai semula pendekatan serta memperkemas gerak kerja.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan penggulungan perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional PKR Tahun 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

“Kita perlu dengar apa yang rakyat hendak sampaikan kepada kita. Kalau ada kekurangan, kita baiki. Kalau ada perkara yang masih belum sampai atau belum benar-benar dirasai rakyat, kita perlu lihat semula bagaimana kita bekerja.

“Jangan tunggu rakyat datang mencari kita. Kita yang perlu turun bertemu mereka, dengar keluhan mereka, fahami masalah harian mereka dan cari jalan penyelesaian,” katanya.

Ramanan menekankan bahawa jentera di peringkat Cabang dan Ranting perlu lebih aktif turun ke lapangan serta menggunakan saluran sedia ada untuk membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Pada masa sama, beliau berkata aspek penerangan perlu diberi perhatian serius supaya dasar, bantuan dan kejayaan Kerajaan MADANI bukan sahaja dilaksanakan, tetapi diketahui, difahami dan benar-benar dirasai rakyat.

“Kerajaan boleh melaksanakan seribu inisiatif, tetapi kalau rakyat tidak tahu, tidak faham dan tidak merasainya, kita perlu bertanya apakah penerangan kita sudah cukup berkesan.

“Sebab itu penerangan tidak boleh bermusim atau hanya bergerak ketika pilihan raya. Ia mesti berjalan setiap hari, di setiap Cabang, Ranting dan kawasan sehingga maklumat mengenai dasar, bantuan serta usaha kerajaan sampai ke akar umbi,” katanya.

Ramanan turut mengingatkan anggota parti supaya memanfaatkan media sosial untuk menyampaikan fakta mengenai usaha kerajaan serta menjawab maklumat tidak tepat dengan fakta dan bukti.

Menurut beliau, rakyat akhirnya akan membuat penilaian berdasarkan hasil yang dapat dilihat dan perubahan yang benar-benar dirasai dalam kehidupan mereka.

“Tugas kita mudah tetapi besar tanggungjawabnya iaitu mendengar suara rakyat, baiki kekurangan, sampaikan fakta dan pastikan setiap usaha Kerajaan MADANI benar-benar sampai serta dirasai rakyat.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang telah dicapai. Kita perlu terus memperbaiki diri dan bekerja lebih kuat untuk mendapatkan serta mengekalkan keyakinan rakyat,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement