POLITICS
PKR Selangor pula nyatakan sokongan kepada Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden

Nurul Izzah mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR yang berlangsung 24 Mei ini - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: PKR Selangor menyatakan sokongan terbuka terhadap pencalonan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti berkenaan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata parti itu memerlukan Timbalan Presiden yang tidak terikat dengan pentadbiran kerajaan dan boleh memfokus kepada pengukuhan kekuatan dalaman.
Dalam masa sama, katanya mempersiapkan PKR bagi menghadapi Pilihan Raya Umum dengan strategi kukuh, struktur tersusun dan semangat yang segar.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menambah PKR memerlukan pemimpin yang faham denyut nadi anggota, bersedia mendengar akar umbi serta tahu meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi."Nurul Izzah bukan orang baharu. Beliau telah berjuang sejak muda, menjadi suara anak muda dalam zaman penuh getir, ditahan dan dihina namun tidak pernah meninggalkan medan perjuangan. Beliau membina nama bukan kerana keluarganya tetapi kerana keteguhan prinsip dan keberanian berdiri untuk kebenaran.
"Beliau juga telah membuktikan kredibilitinya dalam dua penggal sebagai Ahli Parlimen, Naib Presiden parti serta pemikir dasar yang komited.
"Dalam dan luar negara mengiktiraf ketokohannya tetapi yang paling utama, anggota parti tahu siapa beliau dan tahu apa yang telah dikorbankan untuk PKR," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sokongan terhadap Nurul Izzah itu turut dizahirkan oleh pimpinan kanan Selangor termasuk Timbalan Pengerusi, Datuk Borhan Aman Shah; Naib Pengerusi, Hee Loy Sian; dan Ketua Cabang Shah Alam, Mohd Najwan Halimi.
Pimpinan lain yang menyatakan sokongan termasuk Ketua Cabang Sepang, Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Ampang, Hulu Langat, Bangi, Puchong, Subang, Damansara, Sungai Buloh, Kapar, Klang, Kota Raja dan Kuala Langat.
Amirudin yang juga Ketua Cabang PKR Gombak meluahkan keyakinan bahawa menerusi pencalonan Nurul Izzah, barisan kepimpinan yang kuat dapat diwujudkan selain menyemai semula kepercayaan rakyat sekali gus memastikan PKR kekal relevan, progresif dan berwibawa.
Beliau berkata kepimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Perdana Menteri, memerlukan gandingan mantap dan Nurul Izzah mampu menjadi rakan setia, penasihat jujur serta tenaga penggerak yang berani menyatakan kebenaran demi parti.
Sehubungan itu, beliau menegaskan PKR Selangor berdiri teguh bersama Nurul Izzah dan berharap ia permulaan kepada babak baharu perjuangan PKR yang lebih bersatu, matang dan membina.
Nurul Izzah mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR yang berlangsung 24 Mei ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami